Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perluas akses pasaran, latihan dan pembiayaan, pertingkat daya saing usahawan tempatan

  • 29 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 32

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan akses pasaran, latihan keusahawanan dan kemudahan pembiayaan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi inklusif bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan daya saing serta mengembangkan perniagaan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abdul Rahman berkata, tiga pendekatan utama itu dilaksanakan melalui pembiayaan penyertaan ekspo perdagangan, program peningkatan kemahiran dan Skim Kredit Mikro tanpa faedah.

Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan membuka peluang lebih luas kepada usahawan kecil untuk memasarkan produk, meningkatkan keupayaan pengurusan perniagaan serta mendapatkan modal bagi mengembangkan operasi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok, YB Dato’ Zuraidin Abdullah pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Mengulas mengenai akses pasaran, beliau memaklumkan kerajaan negeri menyediakan pembiayaan bagi membolehkan usahawan tempatan menyertai ekspo perdagangan bertaraf nasional dan antarabangsa.

Antara platform yang dikenal pasti ialah Penang International Halal 2026 (PIHEX), World Halal Products Exhibition (HAPEX) 2026, Melaka International Halal Festival 2026 (MIHF), Jelajah KALA 2026, Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 serta Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026.

Penyertaan dalam ekspo berkenaan memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk kepada pasaran lebih luas, membina jaringan perniagaan dan meneroka potensi kerjasama perdagangan.

Dalam aspek pembangunan kapasiti pula, Dato' Md Anizam menjelaskan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) turut menyediakan pelbagai kursus dan latihan keusahawanan dengan penekanan terhadap penguasaan teknologi digital serta strategi pemasaran semasa.

“Antara latihan yang disediakan ialah Bengkel FB Pro, Bengkel AI for Marketing dan Bengkel Canva Pro,” katanya.

Selain itu, latihan turut merangkumi pemasaran melalui TikTok Shop dan TikTok Live, kursus pembuatan kek dan roti serta penggunaan lanjutan aplikasi TikTok dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan pemasaran dan jualan.

Tambahnya, penguasaan kemahiran digital penting bagi membolehkan usahawan kecil menyesuaikan strategi perniagaan dengan perubahan corak pembelian pengguna serta memanfaatkan platform dalam talian untuk memperluas pasaran.

Sementara itu, bagi menangani kekangan modal, kerajaan negeri turut menyediakan Skim Kredit Mikro yang menawarkan pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada usahawan kecil.

"Kemudahan tersebut bertujuan membantu usahawan mendapatkan modal tambahan bagi menampung keperluan operasi dan mengembangkan perniagaan mengikut kemampuan masing-masing," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!