Accessibility Tools

Skip to main content

RM11 juta naik taraf LRA Merbau Chondong, pertingkat kualiti air di Pasir Puteh

  • 01 November 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 36

KOTA DARULNAIM, 1 November – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM11 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong sebagai langkah strategik meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kualiti air terawat sekali gus mempertingkat kualiti bekalan air di beberapa kawasan jajahan Pasir Puteh.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek yang dijangka siap pada Januari 2027 itu melibatkan penambahbaikan sistem rawatan dan penapisan bagi mengatasi masalah kandungan ferum serta mangan yang tinggi dalam sumber air.

Menurutnya, kapasiti pengeluaran LRA Merbau Chondong turut ditingkatkan daripada 45 juta liter kepada 70 juta liter sehari bagi menampung permintaan pengguna yang semakin meningkat.

“Peningkatan sebanyak 25 juta liter sehari itu dijangka memperkukuh keupayaan loji berkenaan dalam membekalkan air terawat serta meningkatkan kestabilan sistem bekalan air kepada pengguna,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 pada persidangan Dewan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan YB Nor Asilah Mohamed Zin berhubung langkah Kerajaan Negeri melalui Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) untuk menangani gangguan bekalan dan masalah kualiti air keruh yang masih berlaku di Pasir Puteh yang melibatkan beberapa kawasan.

Di samping itu, Dato’ Dr Izani menjelaskan, selain menaik taraf LRA Merbau Chondong, kerajaan negeri turut melaksanakan pembinaan LRA Tok Bali yang berkapasiti 50 juta liter sehari sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap keperluan bekalan air di jajahan berkenaan.

Katanya lagi, kemajuan fizikal pembinaan LRA Tok Bali kini mencapai antara 28 hingga 29 peratus berbanding sasaran kemajuan berjadual sebanyak 30 peratus.

“Loji baharu itu disasarkan siap menjelang akhir 2028 dan dijangka meningkatkan keupayaan pengeluaran serta memperkukuh sistem agihan air di Pasir Puteh,” jelasnya.

Tambahnya, apabila LRA Tok Bali mula beroperasi kelak, sebahagian keperluan bekalan air Pasir Puteh dapat ditampung oleh loji tersebut sekali gus membolehkan pengagihan semula bekalan daripada LRA Merbau Chondong ke kawasan lain yang memerlukan.

Pautan berjaya disalin!