Pantai Tapang serlah potensi Bachok sebagai Bandar Pelancongan Islam
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 4 Jun — Pembangunan Pantai Tapang sebagai destinasi pelancongan komuniti yang berteraskan rekreasi keluarga, keusahawanan dan kelestarian alam sekitar menyerlahkan potensi Bachok untuk muncul sebagai Bandar Pelancongan Islam yang berdaya saing di Pantai Timur.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, perkembangan positif kawasan tersebut membuktikan keupayaan produk pelancongan berasaskan komuniti dalam merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh sektor pelancongan negeri.
Menurutnya, Pantai Tapang yang dibangunkan oleh Rosli Mamat atau lebih dikenali sebagai Cikgu Lee bersama keluarganya kini semakin mendapat perhatian pengunjung kerana menawarkan suasana santai, selamat dan mesra keluarga di pesisir Laut China Selatan.
“Pantai Tapang bukan sekadar kawasan pantai biasa, sebaliknya telah berkembang menjadi sebuah destinasi rekreasi yang menggabungkan pelbagai elemen pelancongan dalam satu lokasi.
“Keindahan pantainya yang bersih, kawasan lapang untuk beriadah serta suasana yang tenang menjadikan lokasi ini pilihan pengunjung yang ingin meluangkan masa bersama keluarga,” katanya menerusi laman sosial, semalam.
Katanya, antara tarikan utama Pantai Tapang ialah panorama matahari terbit yang memukau, persekitaran pantai yang terpelihara serta kemudahan rekreasi yang sesuai untuk seisi keluarga.
Menurutnya lagi, kewujudan pelbagai premis perniagaan termasuk kafe, gerai makanan dan perusahaan kecil tempatan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
“Pembangunan seperti ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri, bahkan membuka peluang pendapatan kepada penduduk sekitar melalui aktiviti keusahawanan dan perniagaan.
“Ia membuktikan bahawa produk pelancongan pantai mampu ditransformasikan menjadi produk pelancongan komuniti yang berjaya apabila dibangunkan secara terancang dan berterusan,” katanya.
Tambahnya, kejayaan Pantai Tapang turut melengkapkan rangkaian destinasi pelancongan pantai di Bachok termasuk Pantai Kemasin, Pantai Kemayang, Pantai Melawi, Pantai Senok dan Pantai Kandis.
Beliau optimis perkembangan tersebut memberi petunjuk positif terhadap usaha menjadikan Bachok sebagai Bandar Pelancongan Islam yang menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan nilai kekeluargaan, kebersihan, kesejahteraan komuniti serta penghargaan terhadap alam.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat dan pengunjung supaya bersama-sama memelihara kebersihan kawasan pantai bagi memastikan aset pelancongan negeri terus terjaga dan kekal menjadi tarikan utama pelawat domestik serta antarabangsa.
“Kelestarian alam sekitar merupakan elemen penting dalam pembangunan pelancongan. Komitmen semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keindahan dan daya tarikan Pantai Tapang dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” ujarnya.


















