Saman hingga RM2,000 menanti pembuang sisa pukal dalam tong sampah awam
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 4 Jun — Individu yang membuang sisa pukal secara haram ke dalam tong sampah awam berdepan tindakan saman sehingga RM2,000 mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, masih terdapat segelintir pihak yang gagal mematuhi kaedah pelupusan yang ditetapkan dengan menjadikan tong sampah awam sebagai tempat membuang sisa pukal dan sisa komersial.
Menurutnya, perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan operasi pengurusan sisa pepejal serta menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam yang disediakan untuk kegunaan harian penduduk.
“Pembuangan sisa pukal di dalam tong sampah awam secara haram adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah PBT yang boleh dikenakan saman sehingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan yang diterima berhubung tindakan membuang sisa pukal ke dalam tong sampah awam.
Menurutnya, sisa pukal tidak sepatutnya dibuang ke dalam tong sampah awam, sebaliknya perlu dihantar terus ke tapak pelupusan yang berdaftar dengan PBT.
Katanya lagi, pelupusan sisa tersebut lazimnya tertakluk kepada caj tertentu yang dikenakan oleh operator tapak pelupusan.
Beliau menjelaskan, antara kategori sisa pukal dan sisa komersial yang dilarang dibuang ke dalam tong sampah awam termasuk bahan binaan, tiang rumah, pasir, batang pokok, perabot rumah, bahan toksik atau beracun serta bangkai haiwan seperti lembu, kambing dan anjing.
“Pembuangan sisa pukal atau komersial akan merosakkan tong sampah awam yang pastinya mengganggu operasi kutipan dan pembersihan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.
Tambahnya, kerosakan kemudahan tersebut menjejaskan kelancaran sistem pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung oleh PBT.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa buangan dengan mematuhi prosedur pelupusan yang ditetapkan demi memastikan kebersihan, kesihatan awam dan kesejahteraan persekitaran terus terpelihara.
“Ayuh masyarakat dan rakyat Kelantan, sama-sama kita patuhi cara pembuangan sampah yang betul untuk membina negeri yang bersih dan sihat,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan kerjasama semua pihak amat penting dalam menjayakan agenda kebersihan negeri serta memastikan kemudahan awam dapat dimanfaatkan secara optimum oleh seluruh masyarakat.








