Accessibility Tools

Skip to main content

RM51,450 disalur kepada 150 penerima di DUN Kemahang

Oleh: Irham Hilmi Hashim

TANAH MERAH, 4 Jun - Sebanyak RM51,450 disalurkan kepada 150 penerima di DUN Kemahang menerusi pelbagai skim bantuan kebajikan sebagai usaha berterusan membantu golongan memerlukan serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial masyarakat setempat.

Bantuan yang diagihkan meliputi Skim Bantuan Pelajar Cemerlang, Bantuan Sakit Kronik, Khairat Kifaalah dan Bantuan Ma'aruf Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus memberi manfaat kepada penerima daripada pelbagai latar belakang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato’ Anizam Ab Rahman berkata, penyaluran bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Menurutnya, bantuan yang disediakan bertujuan meringankan beban kewangan penerima dan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

“Semoga bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima dalam meneruskan kehidupan serta memenuhi keperluan mereka mengikut kategori masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas program penyampaian bantuan yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kemahang pada 25 Mei lalu.

Menurutnya lagi, inisiatif tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya golongan yang berdepan cabaran kehidupan dan memerlukan perhatian sewajarnya.

Majlis penyampaian bantuan disempurnakan oleh isterinya, Datin Nor Ashikin Ahmad yang turut meluangkan masa menyantuni para penerima.

Pautan berjaya disalin!