Accessibility Tools

Skip to main content

KFLI cungkil potensi kepimpinan anak muda Kelantan

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Zamakhshari

KOTA DARULNAIM, 4 Jun – Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) terus memainkan peranan penting dalam mencungkil dan membangunkan potensi kepimpinan anak muda Kelantan sebagai persediaan melahirkan barisan pelapis yang mampu menerajui negeri pada masa hadapan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, usaha membentuk pemimpin muda perlu dilaksanakan secara terancang dan berterusan kerana kepimpinan bukan sesuatu yang lahir secara kebetulan, sebaliknya dibentuk melalui proses pendidikan, latihan dan pengalaman.

Menurutnya, walaupun terdapat individu yang dikurniakan bakat semula jadi, kebanyakan tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang mencapai kecemerlangan hasil kesungguhan, disiplin dan proses pembentukan yang berterusan.

“Falsafah melentur buluh biarlah dari rebungnya mesti menjadi asas dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang berwibawa. Nilai jati diri, integriti dan kemahiran berfikir secara strategik perlu diterapkan sejak usia muda lagi,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan Kelantan Future Leaders Camp yang berlangsung di Damai Village Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB) pada 2 hingga 4 Jun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan kepimpinan belia negeri.

Program tersebut melibatkan 150 pelajar lepasan SPM yang telah ditapis permohonan mereka mengikut merit kepimpinan di sekolah.

Mengulas lanjut, YB Zamakhshari berkata Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif melalui KFLI bagi menyediakan ekosistem pembangunan belia yang holistik dan berstruktur merangkumi aspek sahsiah, diplomasi, komunikasi, penyelesaian masalah serta kefahaman terhadap tadbir urus.

Katanya lagi, program tersebut turut memberi fokus kepada usaha mengenal pasti dan menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar sekolah, mahasiswa serta belia di peringkat komuniti agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Kita mahu anak muda Kelantan melonjak ke hadapan dan bersedia menjadi suara penting dalam landskap kepimpinan negara.

"Mereka perlu didedahkan dengan realiti pentadbiran dan pengurusan supaya tidak kekok apabila tiba masanya memikul amanah kepimpinan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa KFLI bukan sekadar program jangka pendek, sebaliknya merupakan pelaburan strategik Kerajaan Negeri dalam membentuk generasi pemimpin yang mampu memacu kemajuan Kelantan pada masa hadapan.

“Seorang pemimpin bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul tanggungjawab untuk mencetuskan perubahan. Generasi muda yang dibentuk hari ini bakal menentukan corak kemajuan, kemakmuran dan kelangsungan negeri pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, melalui acuan KFLI, Kelantan berupaya melahirkan barisan pemimpin masa depan yang matang, berjiwa besar, berintegriti dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat serta negeri.

Pautan berjaya disalin!