Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Pusat Ternakan Rusa Rong Chenok jadi pusat pembelajaran penternakan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

PASIR MAS, 4 Jun – Pusat Ternakan Rusa Rong Chenok diharap terus memainkan peranan penting sebagai pusat pembelajaran dan pendedahan maklumat berkaitan penternakan kepada masyarakat, kata Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, kewujudan pusat ternakan itu memberi peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, mengenali dengan lebih dekat selok-belok penternakan rusa, lembu dan ternakan lain secara langsung.

Katanya, pengalaman sedemikian mampu melahirkan minat baharu serta mendekatkan masyarakat dengan industri pertanian dan penternakan negara.

"Pengalaman sebegini tidak ternilai harganya kerana ia dapat melahirkan minat baharu dan mendekatkan masyarakat dengan industri pertanian dan penternakan negara."

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Promosi Agropelancongan Rusa Rong Chenok dan Pertandingan Memancing Tahun 2026 di Rong Chenok, di sini, hari ini.

Tambahnya, ladang berkenaan pada asalnya dikenali sebagai Pusat Ternakan Mahligai, Tanah Merah sebelum ditukar nama kepada Ladang Ternakan Rusa Rong Chenok pada tahun 1993.

Menurutnya lagi, ladang tersebut dirasmikan oleh mantan  Menteri Besar Kelantan Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1995 dengan populasi rusa sebanyak 120 ekor.

"Perjalanan panjang selama lebih tiga dekad inilah yang akhirnya membentuk Pusat Ternakan Rusa Rong Chenok menjadi sebuah pusat ternakan rusa yang terkemuka di Kelantan dengan populasi kini telah berkembang kepada 430 ekor," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya terus menyokong dan menyemarakkan industri agropelancongan di pusat ternakan berkenaan.

Katanya, ladang itu wajar dijadikan pusat rujukan, pusat pembelajaran dan destinasi agropelancongan yang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan.

Sementara itu, menyentuh sektor daging lembu segar negara, beliau berkata, sasaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia menjelang tahun 2030 adalah mencapai 50 peratus Tahap Sara Diri (SSR) bagi daging lembu segar.

Menurutnya, Kelantan kini berada di landasan tepat ke arah sasaran itu dengan pencapaian SSR sebanyak 27.25 peratus yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan kesungguhan penternak di negeri berkenaan dalam meningkatkan pengeluaran ternakan.

Beliau mengakui kejayaan itu turut dapat dilihat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini apabila sebanyak 11,871 ekor ternakan direkodkan disembelih di seluruh Kelantan.

"Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha yang kita nikmati bersama keluarga dan masyarakat itu tidak mungkin dapat direalisasikan sekiranya penternak-penternak negeri kita tidak mampu membekalkan lembu-lembu yang berkualiti tinggi dan mencukupi," katanya.

Turut hadir, Exco  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah, Ketua Jajahan Pasir Mas Fazrul Azan Mohd Basari dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Yahasmida Yaacob.

Pautan berjaya disalin!