Accessibility Tools

Skip to main content

KPJ Perdana lonjak Kelantan sebagai destinasi pelancongan kesihatan serantau

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 4 Jun – Pembangunan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana dijangka melonjakkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan kesihatan serantau menerusi penyediaan kemudahan rawatan moden, lengkap dan berdaya saing.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, projek berkenaan selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk memperkukuh agenda pelancongan kesihatan sebagai antara sektor pertumbuhan baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada KPJ Healthcare Berhad Hospital Pakar KPJ Perdana serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) atas komitmen berterusan dalam memperkasakan pembangunan sektor kesihatan di negeri ini.

Menurutnya, kewujudan kemudahan kesihatan berkualiti tinggi seperti Hospital Pakar KPJ Perdana mampu menarik lebih ramai pelancong kesihatan dari luar negara, khususnya Indonesia dan negara-negara serantau, sekali gus meningkatkan imej Kelantan sebagai destinasi pilihan bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

“Selain menawarkan rawatan berkualiti, pembangunan ini turut memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor lain termasuk pengangkutan, penginapan, makanan, peruncitan dan industri sokongan yang berkaitan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu Hospital Pakar KPJ Perdana, di sini, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat hari ini semakin memerlukan akses kepada rawatan yang lebih cepat, menyeluruh dan berkualiti, khususnya melibatkan rawatan pakar serta perkhidmatan kesihatan yang memerlukan kepakaran khusus.

Sehubungan itu, pembangunan bangunan baharu hospital tersebut merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh kapasiti dan akses penjagaan kesihatan di Kelantan bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik pelaburan strategik seperti itu kerana ia memberi manfaat kepada rakyat dari sudut akses rawatan dan membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta merancakkan pertumbuhan ekosistem kesihatan di Pantai Timur.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan berkata, pembangunan berkenaan juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan rakyat Kelantan terhadap kemudahan rawatan di luar negeri, khususnya bagi mendapatkan rawatan pakar dan rawatan yang lebih kompleks.

“Dengan kapasiti yang lebih besar serta kemudahan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan, pembangunan ini akan memperkukuhkan lagi peranan Hospital Pakar KPJ Perdana sebagai antara institusi kesihatan swasta utama di negeri ini,” jelasnya.

Dato' Mohd Nassuruddin turut menegaskan bahawa pembangunan sektor kesihatan perlu sentiasa meletakkan kesejahteraan insan sebagai matlamat utama selaras dengan aspirasi Penghayatan Membangun Bersama Islam agar setiap kemajuan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Tambahnya, kemudahan kesihatan moden dan kompetitif seperti Hospital Pakar KPJ Perdana juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan kesihatan negeri, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Majlis tersebut menyaksikan pelancaran rasmi pembangunan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana yang bakal memperluaskan kapasiti perkhidmatan kesihatan serta memperkukuhkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelancongan kesihatan serantau.

Pautan berjaya disalin!