Accessibility Tools

Skip to main content

Dapur Hijau strategi proaktif Kelantan kurangkan kebergantungan bekalan makanan luar

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Foto: Media Exco Pertanian & Media YB Dato' Dr Fadzli Hassan

MACHANG, 5 Jun — Program Dapur Hijau yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan menjadi langkah proaktif dalam meningkatkan keupayaan pengeluaran makanan domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan luar, selaras dengan agenda memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, inisiatif tersebut amat signifikan dalam mendepani cabaran semasa yang menyaksikan dunia berhadapan pelbagai isu termasuk perubahan iklim, kenaikan harga makanan, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha memperkukuh sektor pengeluaran makanan tempatan perlu diberi keutamaan bagi memastikan negeri mempunyai keupayaan memenuhi keperluan rakyat secara lebih mampan.

“Kelantan perlu terus memperkukuhkan keupayaan pengeluaran makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

Sebab itu kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap usaha meningkatkan tahap Self-Sufficiency Ratio (SSR) negeri dalam sektor agromakanan.

“Kita mahu Kelantan mampu memenuhi keperluan makanan rakyat sendiri dan berpotensi menjadi antara penyumbang utama kepada agenda Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara,” jelasnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan

Tegasnya, Islam turut memberi penekanan terhadap kepentingan sektor pertanian sebagai asas kestabilan kehidupan dan kesejahteraan ummah.

Menurutnya lagi, walaupun Program Dapur Hijau bermula di halaman rumah, impaknya besar kerana mampu membantu keluarga mengurangkan kos sara hidup, memperoleh sumber makanan yang lebih segar dan sihat serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Program seperti ini mempunyai potensi besar untuk berkembang daripada skala isi rumah kepada komuniti dan seterusnya keusahawanan.

“Daripada hanya menanam untuk kegunaan sendiri, ia boleh berkembang kepada pengeluaran hasil komuniti, pemasaran produk tempatan, penghasilan benih, produk hiliran dan pelbagai aktiviti ekonomi berasaskan pertanian bandar serta komuniti,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!