UPKN sebar luas perbahasan dan jawapan sidang DUN – MB Kelantan
-
03 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
32
KOTA DARULNAIM, 3 November – Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) aktif menyebarluaskan perbahasan serta jawapan kepada soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kepada masyarakat secara efisyen.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, usaha itu dilaksanakan bagi memastikan perkara yang dibincangkan dalam dewan, termasuk jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli dewan, dapat diketahui oleh rakyat.
“Dan sekarang ini pun kita menerusi Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) telah menyebarluaskan apa yang kita bincangkan dalam dewan termasuklah jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli dewan,” katanya.
Penyebarluasan itu dilaksanakan menerusi siaran langsung persidangan DUN, penulisan berita di media sosial dan Portal Info Rakyat Kelantan serta penerbitan keratan video perbahasan dan sesi soal jawab.
UPKN turut menyediakan slot podcast FOKUS Belanjawan Kelantan 2027 bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi membincangkan perkara berkaitan belanjawan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADN Kota Lama YB Dr Hafidzah Mustakim pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026.
Mengulas cadangan itu, beliau berkata kerajaan negeri terbuka untuk mempertimbangkannya selagi maklumat yang disiarkan tidak melibatkan rahsia kerajaan.
“Terima kasih. Itu satu cadangan yang boleh dipertimbangkan yang tidak melibatkan rahsia kerajaanlah,” ujarnya.








