Accessibility Tools

Skip to main content

Enam beranak nikmati kediaman lebih selesa menerusi Rumah Dhuafa’ DUN Wakaf Bharu – YB Mohd Rusli

  • 03 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 36

TUMPAT, 3 November – Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak kini dapat menikmati kediaman lebih selesa apabila menerima manfaat menerusi inisiatif Rumah Dhuafa’ Dewan Negeri (DUN) Wakaf Bharu.

Penyerahan kunci rumah kepada pasangan Ridzuan Aziz dan isterinya Norshamshurainiy disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah di Kampung Kubang Batang, pada 30 Oktober.

Majlis berkenaan dimulakan dengan solat hajat dan bacaan tahlil sebelum diteruskan dengan penyerahan kunci kepada pasangan terbabit.

Menurut YB Mohd Rusli, kediaman baharu itu diharap dapat memberikan keselesaan kepada pasangan berkenaan bersama enam orang anak dalam menjalani kehidupan seharian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas inisiatif Rumah Dhuafa’ yang terus memberikan manfaat kepada rakyat.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas inisiatif Rumah Dhuafa’ yang terus memberi manfaat kepada rakyat.

“Semoga rumah ini menjadi tempat berteduh, membina kebahagiaan dan melahirkan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat,” katanya di laman rasmi, pada Jumaat.

Tambahnya, penyerahan tersebut mencerminkan manfaat inisiatif Rumah Dhuafa’ dalam membantu keluarga memerlukan mendapatkan kediaman lebih selesa, sekali gus menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk membesarkan anak-anak.

Pautan berjaya disalin!