Kelantan laksana enam mekanisme integriti berteraskan prinsip UMI
-
03 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
27
KOTA DARULNAIM, 3 November – Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan enam mekanisme utama yang digabungkan dengan prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) bagi memastikan tadbir urus perkhidmatan awam negeri dilaksanakan secara berintegriti, telus dan bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, pendekatan bersepadu itu merangkumi aspek pencegahan rasuah, kawalan dalaman, pengesanan salah laku, penguatkuasaan serta pembudayaan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, mekanisme pertama ialah penginstitusian integriti menerusi penubuhan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Katanya, BITU melaksanakan enam fungsi teras meliputi tadbir urus, pengukuhan integriti, pengurusan aduan, pengesanan dan pengesahan, tatatertib serta pematuhan.
"Mekanisme kedua ialah pelaksanaan Pelan Antirasuah Kerajaan (KACP) di peringkat kerajaan negeri, manakala Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dilaksanakan di peringkat agensi yang menjadi instrumen pencegahan rasuah berasaskan pengenalpastian risiko, strategi, tindakan pencegahan dan pemantauan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Bunga YB Datuk Mohd Almidi Jaafar pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya lagi, pelaksanaan pelan antirasuah itu memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu pentadbiran awam, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, tadbir urus korporat serta ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran.
Mengulas mekanisme ketiga, beliau menjelaskan kerajaan negeri menyediakan saluran rasmi pengurusan aduan, pengesanan dan tindakan susulan bagi membolehkan orang awam serta penjawat awam melaporkan sebarang perlakuan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kelemahan sistem dan salah laku.
Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan masyarakat mengemukakan aduan melalui saluran rasmi berserta maklumat dan bukti yang relevan bagi membolehkan siasatan serta tindakan sewajarnya dilaksanakan.
"Jika sesuatu perkara hanya ditulis di Facebook atau media sosial tanpa bukti, tindakan mungkin tidak dapat diambil kerana tiada asas mencukupi untuk menjalankan siasatan.
"Keadaan itu juga boleh menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat apabila tiada tindakan dapat diambil, selain berisiko mendatangkan fitnah terhadap individu atau kerajaan sekiranya dakwaan tidak disokong bukti," jelasnya.
Sementara itu, mekanisme keempat membabitkan pelaksanaan kawalan dan audit dalaman menerusi Jawatankuasa Audit Naziran, Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 serta Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001:2016.
Instrumen berkenaan berfungsi sebagai lapisan kawalan bagi memastikan setiap proses kerja mematuhi peraturan, prosedur operasi standard dan keperluan pentadbiran yang ditetapkan.
Mekanisme kelima pula memberi penekanan kepada perlindungan pemberi maklumat dan pematuhan melalui penyediaan saluran khusus untuk melaporkan salah laku serta penyelewengan dalam perkhidmatan awam.
Beliau memaklumkan, BITU mempunyai Polisi Pemberi Maklumat Penjawat Awam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, selain berperanan menerima aduan, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan susulan terhadap laporan yang diterima.
Bahagian itu turut bertanggungjawab memantau pematuhan undang-undang dan peraturan, melaksanakan penilaian naziran integriti serta menyediakan pelaporan berkaitan integriti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengulas mekanisme keenam, beliau berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan dan profesionalisme pegawai melalui latihan berterusan serta program kesedaran integriti.
Tambahnya, usaha itu dilaksanakan dengan penglibatan institusi latihan dan pembangunan modal insan negeri termasuk Institut Latihan Darulnaim (ILDAN), Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) dan Yayasan Tok Kenali (YATOK) serta agensi berkaitan.
Pelaksanaan enam mekanisme tersebut menjadi pendekatan kerajaan negeri untuk menterjemahkan prinsip UMI dalam sistem pentadbiran melalui pengukuhan akauntabiliti, pematuhan peraturan dan pembudayaan integriti dalam kalangan penjawat awam.








