Liputan internet Nenggiri capai 99.12 peratus, Jeram Tekoh dan Pos Gob diberi perhatian
-
03 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
29
KOTA DARULNAIM, 3 November – Liputan internet di kawasan berpenduduk dalam Dewan Negeri (DUN) Nenggiri mencapai 99.12 peratus sehingga 31 Julai 2026, manakala Zon 3 Jeram Tekoh dan kawasan pedalaman Pos Gob turut diberi perhatian menerusi perancangan penambahbaikan liputan di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2.
Exco Kerajaan Negeri kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memperkukuh capaian internet dan komunikasi di seluruh negara termasuk DUN Nenggiri menerusi pelaksanaan JENDELA.
“Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang digital serta memastikan masyarakat luar bandar dapat menikmati akses kepada perkhidmatan komunikasi yang berkualiti.
“Setakat 31 Julai 2026, status capaian liputan internet di kawasan berpenduduk di Kelantan telah meningkat kepada 99.88 peratus, manakala DUN Nenggiri pula mencapai 99.12 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Nenggiri YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, pelaksanaan JENDELA di DUN Nenggiri turut melibatkan pembinaan sembilan tapak menara baharu, naik taraf 77 stesen pemancar serta penyediaan 1,224 premis yang tersedia gentian optik.
“Selain itu, sebanyak 18 lokasi jalur lebar menggunakan teknologi satelit atau Broadband Wireless Access (BWA) telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya.
“Inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada 18 Kampung Orang Asli (KOA), yang mana tiga daripada 18 lokasi BWA tersebut terletak di Pos Gob,” ujarnya.
Mengulas keperluan liputan di Zon 3 Jeram Tekoh, beliau memaklumkan terdapat satu infrastruktur komunikasi sedia ada yang menyediakan perkhidmatan liputan 4G di sekitar Kampung Jeram Tekoh.
Bagaimanapun, kawasan Zon 3 Jeram Tekoh dan KOA Pos Gob telah dipertimbangkan dalam perancangan penambahbaikan liputan menerusi projek JENDELA 2.
“Pelaksanaan projek ini akan melalui penyediaan dua bentuk penyelesaian iaitu perkhidmatan selular awam 4G atau gabungan 4G dan 5G sekiranya bersesuaian, atau perkhidmatan jalur lebar melalui satelit.
“Kaedah yang akan digunakan bergantung kepada kepadatan penduduk, bentuk muka bumi dan ketersediaan infrastruktur di tapak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MCMC sedang dalam proses perancangan untuk menjalankan audit di DUN Nenggiri pada suku keempat tahun 2026, termasuk Zon 3 Jeram Tekoh dan kawasan pedalaman di Pos Gob, Gua Musang.
Sementara itu, beliau turut menggalakkan penduduk memanfaatkan kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran bagi mendapatkan akses internet serta mengikuti latihan untuk pembangunan kemahiran digital.








