Accessibility Tools

Skip to main content

11 sistem digital mudahkan rakyat akses pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri – MB Kelantan

  • 03 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 32

KOTA DARULNAIM, 3 November – 11 sistem dan portal digital dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan termasuk urusan bantuan zakat, tanah, perumahan, pelaburan dan pembiayaan usahawan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda pemerkasaan pentadbiran awam dan pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.

Menurutnya, antara sistem yang dibangunkan ialah e-Azziwaaj bagi mengurus permohonan Skim Bantuan Gerbang Az-ziwaaj bernilai RM1,000 dan e-Agihan MAIK sebagai platform digital berpusat bagi permohonan bantuan zakat kepada golongan asnaf.

“e-Agihan MAIK menyediakan kemudahan permohonan, semakan kelayakan, pengemaskinian maklumat, muat naik dan muat turun dokumen serta semakan status permohonan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri turut menyediakan SerambiPay sebagai portal pembayaran berpusat bagi pelbagai perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan, manakala Portal Hasil Tanah Kelantan memudahkan pemilik tanah membuat carian hak milik, menyemak status serta jumlah cukai sebelum melaksanakan pembayaran secara dalam talian.

Invest Kelantan pula berfungsi sebagai platform berpusat bagi mengurus dan memantau permohonan pelaburan menerusi penyelarasan antara bahagian pelaburan, jabatan teknikal dan agensi berkaitan.

Dalam aspek penguatkuasaan, sistem eGAT dibangunkan bagi mendigitalkan pengurusan proses penguatkuasaan undang-undang Syariah negeri secara berpusat merangkumi pengurusan aduan, risikan, operasi, penyediaan laporan, tindakan dan siasatan.

Sementara itu, sistem e-RMMK memudahkan pengurusan permohonan Rumah Mampu Milik Kelantan, manakala e-Qaryah menyediakan platform bagi mengurus maklumat penduduk dan anak mukim termasuk urusan pengesahan status anak negeri serta permohonan kebenaran berkahwin.

Turut dibangunkan ialah eQanun Kelantan bagi penyimpanan, pengurusan dan penyampaian maklumat perundangan negeri serta e-Mikro untuk mengurus permohonan Skim Pembiayaan Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan.

Kesemua sistem berkenaan turut disokong Portal Digital Kelantan sebagai gerbang digital bersepadu yang menghimpunkan maklumat, sistem dan perkhidmatan kerajaan negeri melalui satu platform.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kelantan berkata portal berkenaan turut menyokong penggunaan Single Sign-On (SSO) bagi membolehkan pengguna mengakses beberapa perkhidmatan melalui satu sesi pengesahan tanpa perlu menguruskan banyak akaun dan kata laluan.

“Pelaksanaan ini memudahkan pengguna mengakses perkhidmatan dan membantu pentadbir memantau penggunaan sistem dengan lebih teratur,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Portal Digital Kelantan menggunakan pengesahan log masuk melalui platform MyDigitalID selaras dengan keperluan keselamatan siber bagi melindungi maklumat kerajaan negeri dan data rakyat.

Pautan berjaya disalin!