Accessibility Tools

Skip to main content

2,187 perkhidmatan kerajaan negeri berjaya ditransformasikan kepada E2E – MB Kelantan

  • 03 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 31

KOTA DARULNAIM, 3 November – Sebanyak 2,187 daripada 3,568 perkhidmatan kerajaan negeri Kelantan berjaya ditransformasikan kepada perkhidmatan digital secara menyeluruh atau end-to-end (E2E).

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian itu bersamaan 61.29 peratus bagi suku kedua tahun ini berdasarkan Laporan Pencapaian Perkhidmatan E2E bagi tempoh April hingga Jun 2026.

Menurutnya, pendekatan E2E membolehkan keseluruhan rantaian penyampaian perkhidmatan kerajaan bermula daripada permohonan, saringan, pembayaran hingga pengeluaran kelulusan dan keputusan diselesaikan secara digital.

“Melalui pendekatan E2E ini, keseluruhan rantaian perkhidmatan bermula daripada permohonan, saringan, pembayaran hingga pengeluaran kelulusan dan keputusan dapat diselesaikan secara digital tanpa keperluan untuk rakyat hadir berulang kali ke kaunter atau pejabat kerajaan secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Beliau juga memaklumkan, pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri merupakan antara keutamaan dalam agenda pemerkasaan pentadbiran awam bagi memastikan tadbir urus yang cekap, telus, berintegriti dan berfokuskan rakyat.

Menurutnya lagi, usaha tersebut bukan sahaja melibatkan pembangunan aplikasi baharu, malah turut mengambil kira aspek keselamatan siber bagi melindungi maklumat kerajaan negeri dan data rakyat serta memastikan kesinambungan perkhidmatan awam.

“Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius aspek keselamatan siber bagi melindungi maklumat kerajaan negeri dan juga data rakyat serta memastikan kesinambungan perkhidmatan awam sebagaimana Dasar Keselamatan ICT Kerajaan Negeri Kelantan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!