Accessibility Tools

Skip to main content

Dua kampung di Pulai Chondong terima peruntukan khas Projek Perintis Zon Komuniti Dapur Hijau

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 5 Jun - Kampung Pangkal Kerdas dan Kampung Rengas di Dewan Negeri (DUN) Pulai Chondong dipilih sebagai projek perintis Zon Komuniti Dapur Hijau dan bakal menerima peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri bagi memperkasa aktiviti pertanian komuniti serta mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, sihat dan produktif.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif baharu itu diperkenalkan sebagai langkah memperluaskan budaya pertanian keluarga dan komuniti secara lebih tersusun di peringkat akar umbi.

Menurutnya, Zon Komuniti Dapur Hijau berpotensi menjadi model pembangunan komuniti berasaskan pertanian yang dapat meningkatkan keterjaminan makanan serta mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan penduduk.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ekspo Dapur Hijau 2026 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 40 peserta di setiap 45 DUN seluruh Kelantan akan menerima kit Dapur Hijau pada tahun ini, dengan pelaksanaan program dimulakan di kawasan Parlimen Machang dan Ketereh.

Katanya lagi, tema Ekspo Dapur Hijau tahun ini, “Keluarga Bertani, Sihat Harmoni”, menekankan penglibatan seluruh institusi keluarga dalam aktiviti pertanian.

“Kita mahu ayah, ibu dan anak-anak bersama-sama berganding bahu mengusahakan pertanian di kawasan rumah masing-masing. Melalui pendekatan ini, kita dapat memupuk semangat kerjasama keluarga di samping mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

“Kita tanam apa yang kita makan dan kita makan apa yang kita tanam,” jelasnya. 

Menurutnya, setiap peserta turut menerima sepuluh jenis benih sayuran serta pokok buah-buahan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga.

Bagi tahun ini peserta menerima pokok limau nipis selepas sebelum ini menerima beberapa varieti limau lain termasuk limau kasturi dan limau purut.

Tambahnya, peserta yang menunjukkan potensi turut akan dikenal pasti untuk dinaik taraf sebagai Usahawan Tani Dapur Hijau melalui bantuan tambahan melibatkan projek fertigasi, hidroponik dan akuaponik.

“Pendekatan ini dapat menggalakkan aktiviti pertanian sara diri dan berupaya melahirkan lebih ramai usahawan tani yang mampu menjana pendapatan melalui sektor agromakanan,” ujarnya.

Turut hadir, timbalannya, YB Dato' Shaari Mat Hussain, Ketua Jajahan Machang Mohd Zamri Ibrahim serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh.

Pautan berjaya disalin!