Anak Machang antara 11 pelajar Kelantan lanjut pengajian ke Korea
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media PKD Temangan
KOTA DARULNAIM, 7 Jun — Seorang anak Machang, Muhammad Harris Iskandar Shamsur terpilih sebagai antara 11 pelajar pertama yang akan melanjutkan pengajian ke Korea Selatan menerusi inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperluaskan akses pendidikan antarabangsa kepada pelajar cemerlang negeri ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pelajar dari Kampung Baru Murni itu bakal mengikuti pengajian peringkat Diploma dalam bidang Kejuruteraan di Dongyang Mirae University (DMU), Korea Selatan.
Menurutnya, Muhammad Harris Iskandar yang merupakan lepasan Sekolah Menengah Ugama Arab (SMU-A) Al-Hasaniah, Pangkal Jenerih dipilih dalam kumpulan perintis pelajar Kelantan yang akan dihantar ke institusi pengajian tinggi berkenaan bermula tahun ini.
“Beliau adalah antara 11 pelajar yang akan mengikuti pengajian di Korea menerusi inisiatif kerajaan negeri yang dijadualkan bermula tahun ini,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memaklumkan satu memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Dongyang Mirae University akan dimeterai pada pertengahan Julai depan bagi memperkukuh kerjasama pendidikan antara kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menghantar antara sepuluh hingga 15 pelajar ke Korea Selatan pada tahun 2026 sebagai fasa awal pelaksanaan program tersebut.








