RM100,000 disalur kepada pekebun durian, Kelantan Sasar Pasaran Durian Premium
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 7 Jun - Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada pekebun di bawah Persatuan Usahawan Durian Negeri Kelantan (PUDNK) bagi memperkukuh pembangunan industri durian premium yang berpotensi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata permintaan yang semakin meningkat terhadap durian premium membuka peluang besar kepada pengusaha tempatan untuk menghasilkan buah berkualiti tinggi yang mampu bersaing di pasaran global.
Menurutnya, bantuan tersebut meliputi keperluan input pertanian, penyelenggaraan kebun serta penggunaan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran.
“Durian merupakan antara komoditi bernilai tinggi yang mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pendapatan pekebun serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kelantan mempunyai kelebihan dari segi keluasan tanah, pengalaman pekebun serta persekitaran yang sesuai untuk pembangunan tanaman durian premium seperti Musang King dan Duri Hitam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Hands-On Durian Unggul: Misi Hasil Tahun Ke-6 yang berlangsung di Zuljati Agro Resort, semalam.
Menurutnya lagi, pembangunan industri durian perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu menjana pendapatan lumayan kepada rakyat serta memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri melalui pembangunan rantaian industri yang mampan.
Beliau juga memaklumkan, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan modal insan sektor pertanian menerusi pelbagai program latihan, pementoran, pemindahan teknologi dan bantuan pembangunan kebun.
Dalam usaha melahirkan lebih ramai pengusaha durian berdaya saing, Program Inkubasi dan Pementoran Komuniti Durian Al-Falah dilaksanakan dengan kerjasama Darulnaim Agro Management Industries Sdn. Bhd. (DAMAI), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), PUDNK dan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.
Program yang menerima peruntukan RM180,000 itu melibatkan enam peserta yang dibimbing secara berfasa sepanjang 2023 hingga 2024.
“Hasil program ini, hampir 11.5 ekar kawasan tanaman durian premium berjaya dibangunkan mengikut standard pengurusan kebun yang sistematik serta dipantau secara berterusan.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan latihan, pementoran dan sokongan berterusan mampu melahirkan lebih ramai pengusaha durian yang berdaya maju dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan industri durian moden memerlukan komitmen pengusaha untuk terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan amalan pengurusan kebun yang cekap.
Tambahnya, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), disiplin pengurusan serta penguasaan ilmu teknikal merupakan faktor penting dalam memastikan pengeluaran hasil yang berkualiti dan konsisten.
"Pendekatan kursus yang menggabungkan 30 peratus teori dan 70 peratus amali memberi peluang kepada peserta mempelajari serta mempraktikkan teknik pengurusan durian secara terus di lapangan.
“Penghasilan buah yang berkualiti tinggi tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada pengurusan kebun yang sistematik, konsisten dan berterusan.
“Oleh itu, ilmu dan pengalaman yang dikongsi sepanjang kursus ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan hasil optimum serta pulangan pelaburan yang lebih tinggi kepada pekebun,” katanya.
Beliau yakin industri durian Kelantan mampu berkembang lebih pesat sekiranya pengusaha terus mengamalkan pengurusan kebun yang baik, meningkatkan kemahiran teknikal serta mematuhi standard pengeluaran yang ditetapkan.
Beliau juga optimis usaha tersebut berpotensi meletakkan Kelantan sebagai antara pengeluar utama durian premium negara serta destinasi agropelancongan durian yang berdaya saing di Malaysia.












