Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-KPT bincang strategi pembangunan pendidikan tinggi dan modal insan

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 7 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membincangkan pelbagai strategi bagi memperluas peluang pembangunan akademik, penyelidikan dan modal insan sebagai usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi demi manfaat rakyat negeri ini.

Perkara tersebut dibincangkan dalam kunjung hormat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat kepada Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir di The Co-Work @ WTC, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Dato’ Wan Roslan berkata, pertemuan itu menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai agenda berkaitan pembangunan pendidikan tinggi, pengukuhan institusi pengajian serta penerokaan kerjasama strategik yang mampu memberikan impak positif kepada rakyat Kelantan.

Menurutnya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan akses pendidikan berkualiti, memperkukuh kapasiti institusi pengajian tinggi serta memperluas ruang kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.

“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi amat penting dalam memastikan agenda pembangunan modal insan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan demi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya menerusi media sosial, pada Khamis.

Beliau berkata, sinergi antara kedua-dua pihak juga penting dalam memastikan pembangunan pendidikan tinggi selari dengan keperluan semasa industri dan aspirasi pembangunan negeri.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Ahmad Rizal Adnan, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Profesor Dr. Mazlan bin Ibrahim dan Pendaftar KIAS Mohd Zahari Sulaiman.

Menurut Dato’ Wan Roslan, penglibatan kepimpinan institusi pengajian tinggi dalam sesi perbincangan itu membolehkan pelbagai pandangan, cadangan dan keperluan semasa sektor pendidikan tinggi diketengahkan bagi merangka pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh.

Beliau berharap hubungan baik antara Kerajaan Negeri, KPT dan institusi pengajian tinggi akan terus diperkasakan bagi menyokong kemajuan pendidikan, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Semoga kerjasama yang dibina ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada mahasiswa, institusi pendidikan dan masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!