Accessibility Tools

Skip to main content

Isu pelarian: Tutup 'pintu bocor' sempadan demi keselamatan negara - Dato' Mumtaz

Oleh: Syamimi Manah

TUMPAT, 7 Jun – Kawalan sempadan negara perlu diperkukuhkan bagi mengekang kemasukan pelarian secara tidak terkawal demi menjamin keselamatan, keharmonian masyarakat dan kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi berkata, isu pelarian tidak boleh lagi ditangani sekadar menguruskan kesan yang timbul, sebaliknya memerlukan pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh di seluruh pintu masuk negara.

Menurutnya, prinsip "no entry, no paperwork" perlu diberi perhatian sebagai langkah awal bagi mengelakkan masalah tersebut terus berulang.

"Isu pelarian tidak boleh lagi dirawat sekadar simptom. Langkah pencegahan mesti dibuat di seluruh sempadan negara supaya masalah ini dapat ditangani dari puncanya," katanya di laman rasmi, semalam.

Tegasnya, kerajaan juga perlu menutup segala kelemahan yang membuka ruang kepada kemasukan pelarian dan pendatang tanpa dokumen, selain mempercepatkan proses penempatan mereka ke negara ketiga.

"Kita wajib menutup rapat segala 'pintu bocor' sempadan dan mempercepatkan proses penghantaran mereka ke negara ketiga. Langkah ini penting bagi memastikan isu pelarian dapat diurus secara lebih berkesan," ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia bukan negara yang meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951, justeru sebarang dasar berkaitan pelarian perlu mengambil kira kapasiti serta kemampuan negara dalam menguruskan isu berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa prinsip kemanusiaan tetap perlu dipelihara termasuk menghormati prinsip non-refoulement yang tidak membenarkan pelarian dihantar pulang ke kawasan yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Dalam masa sama, Dato' Mumtaz berpandangan penempatan semula ke negara ketiga merupakan penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan, selain mampu membantu memutuskan rangkaian sindiket pemerdagangan manusia dan eksploitasi migran yang mengambil kesempatan terhadap golongan terbabit.

Beliau turut menyeru agar komuniti antarabangsa termasuk ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan lebih aktif dalam berkongsi tanggungjawab menangani isu pelarian, sebagaimana yang pernah dilaksanakan dalam pengurusan pelarian Vietnam suatu ketika dahulu.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa status pelarian tidak memberikan sebarang keistimewaan untuk dikecualikan daripada undang-undang negara.

"Status pelarian tidak memberikan sebarang pengecualian daripada pematuhan undang-undang negara. Sesiapa yang berada di Malaysia wajib menghormati dan tertakluk kepada kedaulatan undang-undang tempatan," tegasnya.

Tambahnya, keseimbangan antara pertimbangan kemanusiaan, keselamatan negara dan kedaulatan undang-undang perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat serta kesejahteraan rakyat dapat dikekalkan.

Pautan berjaya disalin!