PKD Bunut Payong kenal pasti tapak padang bola sepak menepati piawaian
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media PKD Bunut Payong
KOTA BHARU, 7 Jun — Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi pembinaan sebuah padang bola sepak yang menepati piawaian menerusi peruntukan yang disediakan kerajaan negeri, sebagai usaha memperkukuh pembangunan sukan dan menyediakan kemudahan berkualiti kepada golongan belia.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman berkata, kemudahan tersebut penting bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat serta menyediakan ruang latihan dan pertandingan yang lebih kondusif kepada komuniti setempat.
Menurutnya, pihak PKD sedang meneliti beberapa lokasi berpotensi sebelum projek berkenaan dapat direalisasikan.
“Kita sedang mencari lokasi yang sesuai untuk membina padang bola sepak yang menepati piawaian melalui peruntukan kerajaan negeri. Kemudahan ini penting bagi memberi ruang kepada anak muda mengembangkan bakat serta meningkatkan mutu sukan bola sepak di Bunut Payong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Liga Elit DUN (LED) Bunut Payong di Dewan PKD Bunut Payong pada 3 Jun lalu.
Beliau berharap Liga Elit DUN Bunut Payong terus menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat pemain muda dan melahirkan lebih ramai pemain berpotensi mewakili pasukan di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, semua pasukan yang bertanding perlu mengekalkan disiplin, semangat kesukanan dan mematuhi peraturan pertandingan bagi memastikan kejohanan berlangsung dalam suasana harmoni.
“Bertandinglah dengan bersungguh-sungguh dan elakkan sebarang pergaduhan atau insiden yang tidak diingini. Semangat kesukanan perlu sentiasa dipelihara walaupun setiap pasukan berusaha untuk mencapai kemenangan,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pencapaian pasukan DUN Bunut Payong yang pernah mara ke peringkat suku akhir sebagai satu kebanggaan dan berharap kejayaan lebih besar dapat dicapai pada masa hadapan.
Dalam majlis itu juga, beliau mengumumkan sumbangan kepada pasukan yang bertanding akan mula disalurkan bermula Julai ini, selain meningkatkan hadiah wang tunai kepada juara Liga Elit DUN Bunut Payong 2026 kepada RM2,500.
Sementara itu, Penyelaras Belia DUN Bunut Payong Muradi Abdullah berkata, kejohanan berkenaan merupakan platform penting untuk pemain mengasah bakat dan meningkatkan kualiti permainan.
“Liga Elit DUN sememangnya menjadi platform untuk mencungkil bakat serta membuka peluang kepada pemain melangkah ke arena bola sepak yang lebih jauh,” katanya.
Sebanyak sembilan pasukan menyertai liga tersebut yang turut diisi dengan sesi taklimat pertandingan oleh Penyelaras Liga Elit DUN Bunut Payong Naim Hanafi.












