Accessibility Tools

Skip to main content

50 mahasiswa baharu DUN Bunut Payong terima sumbangan pendidikan

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media PKD Bunut Payong

KOTA BHARU, 7 Jun — Sebanyak 50 mahasiswa baharu dari DUN Bunut Payong yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menerima sumbangan pendidikan sebagai persediaan menghadapi fasa baharu kehidupan di kampus.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman berkata, peralihan daripada alam persekolahan ke institusi pengajian tinggi merupakan satu pengalaman penting yang menuntut daya tahan, kematangan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Menurutnya, cabaran tersebut lebih dirasai oleh pelajar yang terpaksa berjauhan daripada keluarga dan perlu menyesuaikan diri dengan budaya serta suasana yang berbeza.

“Apabila berada dalam suasana dan budaya yang berbeza, pelajar perlu mempertahankan jati diri serta menjaga batas pergaulan.

“Maklumkan kepada ibu bapa atau keluarga sekiranya berdepan sebarang masalah ketika berada di tempat orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS peringkat DUN Bunut Payong di Dewan Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong, di sini, semalam.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk melakar kecemerlangan akademik serta mengharumkan nama keluarga dan daerah.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para mahasiswa agar sentiasa memasang tekad yang tinggi dalam mengejar cita-cita serta memanfaatkan peluang pendidikan yang diperoleh sebaik mungkin.

Katanya lagi, perkembangan teknologi komunikasi masa kini membolehkan pelajar terus berhubung dengan keluarga walaupun berada jauh di perantauan, sekali gus membantu mengukuhkan sokongan emosi sepanjang tempoh pengajian.

“Gunakanlah kemudahan teknologi yang ada secara berhemah dan bermanfaat bagi mengekalkan hubungan baik dengan keluarga serta membantu proses pembelajaran,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek kerohanian perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan mahasiswa kerana ia merupakan asas penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri yang kukuh.

“Paling utama, jagalah hubungan dengan Allah SWT, peliharalah agama dan jangan sekali-kali meninggalkan solat walau dalam apa jua keadaan,” katanya.

Menurutnya, mahasiswa yang cemerlang diukur melalui pencapaian akademik, kekuatan akhlak, disiplin dan pegangan agama yang mampu membentuk generasi berilmu serta berdaya saing pada masa hadapan.

Pautan berjaya disalin!