Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Ekspo Dapur Hijau tarik 5,000 pengunjung, jana jualan RM30,000

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco

MACHANG, 7 Jun — Ekspo Dapur Hijau Negeri Kelantan 2026 berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap agenda keterjaminan makanan apabila menarik kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung serta merekodkan nilai jualan sebanyak RM30,000 sepanjang penganjurannya selama dua hari.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pencapaian tersebut membuktikan usaha memperkasakan budaya pertanian komuniti dan pengeluaran makanan sendiri semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, ekspo berkenaan bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan teknologi pertanian, malah berjaya membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan serta memperluaskan kesedaran rakyat mengenai kepentingan keterjaminan makanan.

“Alhamdulillah, setelah berlangsung selama dua hari, Ekspo Dapur Hijau Negeri Kelantan 2026 telah melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Dapur Hijau Negeri Kelantan 2026 di Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok, di sini, semalam.

Beliau berkata, pelbagai program dan aktiviti berjaya dilaksanakan sepanjang ekspo tersebut dengan penyertaan memberangsangkan daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan, usahawan dan komuniti setempat.

Antaranya termasuk pameran serta jualan agensi pertanian dan usahawan, program Tunas Tani Al-Falah, demonstrasi masakan, sukaneka rakyat, pertandingan teh tarik, jamuan rakyat, persembahan wayang kulit, pertandingan mewarna, demonstrasi penghasilan baja dan kawalan organik, pertandingan video TikTok Kebun Cantik serta pertandingan reruai Dapur Hijau.

Menurutnya, nilai jualan keseluruhan sebanyak RM30,000 direkodkan hasil penglibatan usahawan, pengusaha makanan, pengeluar produk pertanian serta agensi berkaitan termasuk reruai Dapur Hijau peringkat Parlimen yang mengambil bahagian.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa Ekspo Dapur Hijau berfungsi sebagai medan pendidikan dan perkongsian ilmu sekali gus memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi komuniti dan peningkatan pendapatan usahawan tempatan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat termasuk Jabatan Pertanian Kelantan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, MARDI, FAMA, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK), Kelantan Biotech, KPKB, Damai Agro, KUMH, Politeknik Jeli, YM Agro serta para usahawan dan jawatankuasa pelaksana.

Katanya, kerjasama erat semua pihak termasuk Majlis Daerah Machang dan Pusat Khidmat DUN Pulai Chondong yang menyediakan lokasi penganjuran di Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok menjadi faktor penting kejayaan program tersebut.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ekspo berkenaan menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan siri taklimat dan pengagihan kit Dapur Hijau di seluruh Parlimen di Kelantan sebagai usaha memperluas budaya pengeluaran makanan di peringkat komuniti.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh agenda keterjaminan makanan dan pembangunan sektor agromakanan melalui pelbagai program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Program seperti ini akan terus diperkasakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengeluaran makanan sendiri serta memperluaskan peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai komuniti, usahawan dan agensi akan terlibat pada masa hadapan bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negeri terus diperkasa secara berterusan.

Pautan berjaya disalin!