Ihsan teras tadbir urus, bentuk penjawat awam berintegriti - MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 7 Jun — Konsep ihsan merupakan teras utama tadbir urus Islam yang mampu melahirkan penjawat awam berintegriti, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, konsep ihsan yang menjadi antara tunjang pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) bukan sekadar berkaitan ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat, bahkan merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk pentadbiran, pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan awam.
Menurutnya, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ihsan ialah seseorang menyembah Allah SWT seolah-olah melihat-Nya, dan jika tidak mampu melihat-Nya, maka hendaklah meyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihat setiap perbuatannya.
“Dalam konteks tadbir urus, ihsan bermaksud melaksanakan amanah dengan penuh kesedaran bahawa setiap tindakan diperhati dan dinilai oleh Allah SWT.
“Ia melahirkan rasa tanggungjawab yang mendalam walaupun tiada siapa yang melihat atau memantau pekerjaan kita kerana Allah SWT sentiasa melihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 200 penjawat awam menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Besar sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan perkhidmatan mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata penghayatan nilai ihsan akan mendorong penjawat awam bekerja bukan semata-mata kerana arahan ketua atau penilaian prestasi tahunan, sebaliknya kerana menyedari setiap tugas merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Katanya, budaya ihsan yang subur dalam sesebuah organisasi mampu menjadikan integriti sebagai budaya kerja, sekali gus membantu mencegah ketirisan, mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan mengurangkan pembaziran.
“Rakyat pula akan menerima perkhidmatan yang lebih cekap, berkualiti dan berkesan.
“Inilah sebenarnya asas kepada konsep tadbir urus Islam yang sentiasa ditekankan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan yang berteraskan akhlak, integriti dan nilai ihsan.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Tuan Zawawi Ghazali serta Pegawai Kewangan Negeri Kelantan YB Dato’ Rosnazli Amin.












