Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud


Kelantan utamakan kebajikan penjawat awam, tingkat mutu perkhidmatan kepada rakyat

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 7 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan terus memberi keutamaan kepada kebajikan penjawat awam sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan warga perkhidmatan awam dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kecemerlangan sesebuah organisasi tidak boleh dicapai hanya melalui tuntutan prestasi kerja yang tinggi, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan aspek kebajikan dan kesejahteraan warga kerja.

Menurutnya, cabaran kehidupan masa kini termasuk peningkatan kos sara hidup, tekanan kerja serta tuntutan tugas yang semakin kompleks memerlukan perhatian serius agar penjawat awam dapat terus melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat aspek kebajikan penjawat awam. Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu merupakan salah satu usaha bagi memperkukuhkan kesejahteraan warga perkhidmatan awam agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Penjawat Awam Negeri Kelantan (APC) 2025 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Jelasnya, walaupun peningkatan pendapatan bukan penyelesaian kepada semua cabaran yang dihadapi, langkah tersebut merupakan bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan besar penjawat awam kepada pembangunan negeri dan negara.

Menurutnya lagi, kebajikan yang terpelihara akan melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif, bermotivasi serta mempunyai tahap komitmen yang tinggi terhadap organisasi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan penjawat awam agar setiap kemudahan dan manfaat yang diberikan diterjemahkan melalui peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Rakyat berhak menerima perkhidmatan yang terbaik kerana mereka merupakan pihak yang menjadi fokus utama kepada kewujudan institusi kerajaan.

“Saya juga mengharapkan sekiranya masih terdapat amalan atau budaya negatif dalam tugasan, hendaklah dihentikan dan disuburkan budaya kerja yang positif. Jangan kerana setitik nila, rosak susu sebelanga,” tegasnya.

Beliau turut menyeru penjawat awam negeri agar terus menampilkan imej perkhidmatan yang berintegriti, cekap dan berkualiti bagi mengekalkan kepercayaan serta penghargaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

"Majlis APC 2025 diadakan sebagai pengiktirafan kepada penjawat awam yang menunjukkan prestasi cemerlang serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab perkhidmatan," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!