Kelantan sasar rakyat sihat sejahtera menjelang 2030
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco
KUALA KRAI, 8 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan pembentukan masyarakat yang sihat, sejahtera dan berkualiti menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan agenda Kelantan Sihat yang digerakkan secara bersepadu bersama inisiatif Kelantanku Bersih dan Kelantan Hijau.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, matlamat tersebut selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, kesihatan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada aspek kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar kerana ketiga-tiganya merupakan komponen penting dalam melahirkan masyarakat yang produktif serta mempunyai kualiti hidup yang baik.
“Jika kita mahu rakyat sihat, maka kawasan kediaman mestilah bersih. Jika kita mahu generasi sihat, maka udara, air dan alam sekitar mesti dipelihara. Jika kita mahu masyarakat sejahtera, maka kesihatan fizikal dan mental mesti diberikan perhatian yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas merasmikan Program Sihat Itu Saya (SIS) Peringkat Daerah Kuala Krai yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai, Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai dan Majlis Daerah Kuala Krai di Dewan Sri Guchil, semalam.
Menurutnya, Program Sihat Itu Saya merupakan antara inisiatif utama di bawah ANMS yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Katanya lagi, program tersebut memberi tumpuan kepada saringan kesihatan dan pengesanan awal penyakit serta bertujuan mendidik rakyat supaya mengamalkan gaya hidup sihat serta mengambil langkah pencegahan sebelum berlakunya masalah kesihatan yang lebih serius.
“Program ini menggalakkan rakyat menjaga kesihatan diri, memupuk kesejahteraan mental dan emosi serta meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan keluarga dan komuniti.
“Matlamat akhirnya ialah melahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan produktif,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat mengenai cabaran kesihatan semasa berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Beliau memaklumkan, sebanyak 54.4 peratus rakyat Malaysia dewasa berada dalam kategori berlebihan berat badan atau obes, manakala 15.6 peratus menghidap diabetes, 29.2 peratus hipertensi dan 33.3 peratus mempunyai paras kolesterol tinggi.
“Selain itu, hampir 30 peratus orang dewasa didapati tidak aktif secara fizikal. Statistik ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh budaya hidup sihat dalam masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya membudayakan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari serta menjadikan amalan berjalan kaki sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Kempen tersebut turut dimulakan dalam kalangan petugas dan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah menerusi sasaran berjalan 10,000 langkah sehari sebagai usaha membentuk gaya hidup yang lebih aktif.
YB Hilmi berharap program seumpama itu terus diperkasakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, sekali gus membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan rakyat Kelantan yang sihat, sejahtera dan berkualiti menjelang tahun 2030.












