Setiap jajahan perlu lebih agresif turunkan kadar NRW - Dato' Dr Izani
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco
KOTA BHARU, 8 Jun — Setiap jajahan di Kelantan perlu memainkan peranan secara lebih agresif dan proaktif dalam usaha menurunkan kadar Non-Revenue Water (NRW) bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai sekali gus meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negeri.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Izani Husin berkata, usaha mengurangkan NRW kekal menjadi antara agenda utama Kerajaan Negeri dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dalam memperkukuh sistem pengagihan air serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media susulan sesi taklimat bersama pihak AKSB Jajahan Kota Bharu Timur yang berlangsung di Ibu Pejabat AKSB, pada Khamis lalu.
Menurutnya, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk pengesanan kebocoran secara aktif, pembaikan paip rosak, penggantian paip usang serta pemantauan lebih berkesan terhadap rangkaian agihan bekalan air.
Taklimat tersebut diadakan bagi meneliti perkembangan semasa bekalan air di kawasan Kota Bharu Timur serta menilai keberkesanan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kehilangan air terawat.
“Pengurangan NRW bukan sahaja mampu mengurangkan kehilangan air terawat, malah meningkatkan tekanan dan kestabilan bekalan kepada pengguna tanpa memerlukan sumber air tambahan yang besar,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan, kejayaan menurunkan kadar NRW akan memberi manfaat langsung kepada pengguna menerusi sistem bekalan air yang lebih cekap, stabil dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap jajahan perlu meningkatkan tahap pemantauan dan tindakan lapangan bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Setiap jajahan perlu memainkan peranan secara lebih agresif dan proaktif bagi memastikan sasaran penurunan NRW dapat dicapai mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau juga menyeru agar kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat amat penting bagi memastikan usaha pengurangan NRW memberikan impak optimum kepada sistem bekalan air negeri.










