Aduan pengguna stadium diteliti, kemudahan terus ditambah baik
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 8 Jun — Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap aduan dan permohonan yang dikemukakan pengguna Stadium Muhammad IV bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa memenuhi keperluan, keselesaan serta aspek keselamatan pengunjung.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara tersebut antara fokus utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan Stadium Kelantan yang dipengerusikannya di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Ahad.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan meneliti pelbagai isu berkaitan pengurusan stadium termasuk cadangan penambahbaikan kemudahan demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
“Antara perkara yang dibincangkan berkaitan pengurusan stadium termasuk meneliti aduan serta permohonan bagi penambahbaikan kemudahan demi keselesaan dan keselamatan para pengguna,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan kemudahan awam khususnya stadium berada pada tahap terbaik menerusi penyelenggaraan dan penambahbaikan secara berterusan.
Menurutnya, kemudahan stadium yang berkualiti bukan sahaja penting bagi penganjuran acara sukan, malah berperanan menyokong pelaksanaan aktiviti rekreasi, program kemasyarakatan serta pembangunan belia.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan dapat memastikan kemudahan stadium sentiasa berada dalam keadaan terbaik serta terus menjadi lokasi yang kondusif untuk aktiviti sukan, rekreasi dan program kemasyarakatan di Negeri Kelantan,” ujarnya.
Tambahnya, komitmen berterusan semua pihak dalam memperkasa kemudahan stadium akan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan mesra pengguna, selaras dengan agenda kerajaan negeri untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.












