APC 2025 iktiraf 200 penjawat awam cemerlang Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 8 Jun — Sebanyak 200 penjawat awam Negeri Kelantan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan negeri terhadap prestasi, komitmen dan sumbangan cemerlang mereka dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal berkata, anugerah tersebut bukan sekadar penghargaan berbentuk sijil atau ganjaran material, sebaliknya melambangkan pengiktirafan tertinggi organisasi terhadap kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan.
Menurutnya, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membudayakan perkhidmatan awam berkualiti tinggi yang berteraskan nilai U'budiyyah, Masu'liyyah dan Itqan (UMI).
“Apabila nilai-nilai ini mekar dalam diri setiap penjawat awam, ia dapat mengurangkan kerenah birokrasi, meminimumkan aduan pelanggan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, semalam.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Pada majlis yang sama turut dilancarkan Buku Infografik Kod Etika Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan sebagai panduan memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam kalangan penjawat awam.
Menurut YBM Dato’ Dr Faziharudean, selaras dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (RPA), warga perkhidmatan awam perlu bersedia melakukan perubahan dari segi pemikiran dan pendekatan kerja agar lebih cekap, pantas, berintegriti serta berorientasikan rakyat.
Beliau juga menyeru penjawat awam agar memanfaatkan teknologi digital dan sentiasa meneroka pendekatan baharu bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Di samping itu, beliau turut menegaskan budaya inovasi perlu terus diperkasakan bagi menghadapi cabaran era transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang menuntut penguasaan teknologi serta kompetensi baharu.
Walau bagaimanapun, katanya, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pengukuhan integriti dan sahsiah dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.
“Setiap keputusan yang dibuat, setiap pengurusan data yang dikendalikan dan setiap penggunaan teknologi memerlukan tahap akauntabiliti yang tinggi.
“Digitalisasi tanpa integriti boleh membuka ruang kepada ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” jelasnya.
Beliau optimis gabungan penguasaan digital yang mantap dan kekuatan sahsiah akan melahirkan perkhidmatan awam yang progresif, berdaya saing serta kekal berpaksikan nilai kemanusiaan dan ketuhanan.
Mengulas mengenai pemilihan penerima APC, beliau memaklumkan bahawa proses tersebut dilaksanakan secara telus, adil dan berasaskan kriteria yang ditetapkan bagi memastikan pengiktirafan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
Beliau turut mengingatkan penerima agar terus mengekalkan kecemerlangan dan menjadi sumber inspirasi kepada rakan sekerja dalam usaha memperkukuh imej perkhidmatan awam negeri.
“Kecemerlangan ini perlu dikekalkan secara konsisten sehingga ke akhir tempoh perkhidmatan,” ujarnya.
















