Accessibility Tools

Skip to main content

Gelanggang sepak takraw Perupok tambah ruang rekreasi sihat belia

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Wakaf Bharu

TUMPAT, 8 Jun — Pembinaan gelanggang sepak takraw baharu di Kampung Perupok, Wakaf Delima menambah kemudahan rekreasi dan riadah kepada golongan belia di DUN Wakaf Bharu, sekali gus menyediakan ruang yang kondusif untuk aktiviti sukan serta pembangunan komuniti.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu, YB Mohd Rusli Abdullah berkata, kemudahan tersebut diwujudkan bagi memenuhi keperluan anak muda setempat untuk bersukan, beriadah dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan dalam suasana yang sihat dan positif.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gelanggang Sepak Takraw Kampung Perupok, Wakaf Delima, pada Sabtu.

Menurutnya, kewujudan gelanggang itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan belia, malah berperanan sebagai platform mengukuhkan hubungan persahabatan dan semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Saya yakin, bila ada tempat untuk anak muda berkumpul dan bersukan, banyak perkara baik dapat dibina.

“Ia dapat mengisi masa dengan aktiviti sihat serta mengeratkan persahabatan dalam kalangan mereka,” katanya menerusi laman rasmi, Sabtu lalu.

Beliau berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat, khususnya generasi muda, bagi melahirkan masyarakat yang aktif dan sejahtera.

Menurutnya, gelanggang tersebut juga berpotensi menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam sukan sepak takraw serta melahirkan lebih ramai pemain yang mampu mengharumkan nama kawasan dan negeri pada masa hadapan.

“Semoga gelanggang ini dimanfaatkan sebaiknya dan menjadi tempat lahirnya lebih ramai bakat sepak takraw selepas ini,” ujarnya.

Tambahnya, pembangunan kemudahan sukan di peringkat komuniti akan terus diberi perhatian sebagai sebahagian usaha memperkasa pembangunan belia dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Pautan berjaya disalin!