Tabung Serambi Mekah terus bantu rakyat lebih 35 tahun -MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 8 Jun — Tabung Serambi Mekah yang diwujudkan lebih 35 tahun lalu terus menjadi antara instrumen kebajikan utama Kerajaan Negeri Kelantan dalam membantu rakyat yang ditimpa musibah, memerlukan rawatan, membaiki rumah yang rosak serta memenuhi pelbagai keperluan mendesak.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, peranan tabung tersebut kekal relevan dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
Menurutnya, setiap kali mesyuarat berkaitan kebajikan diadakan, perkara yang sentiasa menjadi keutamaan ialah nasib rakyat yang sedang berdepan pelbagai ujian kehidupan.
“Alhamdulillah, sejak ditubuhkan lebih 35 tahun lalu, Tabung Serambi Mekah terus menjadi antara wadah penting untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah, memerlukan rawatan, membaiki rumah yang rosak dan pelbagai lagi keperluan mendesak.
“Mudah-mudahan usaha kecil yang dilakukan ini menjadi asbab meringankan beban mereka yang memerlukan kerana kekuatan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga pada sejauh mana kita mampu menjaga kebajikan rakyatnya,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, di sebalik setiap angka dan laporan yang dibentangkan dalam mesyuarat, terdapat kisah kehidupan rakyat yang memerlukan perhatian, keprihatinan dan tindakan segera daripada pelbagai pihak.
"Kerajaan negeri akan terus memastikan fungsi dan peranan Tabung Serambi Mekah diperkasakan agar bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan," ujarnya.










