Accessibility Tools

Skip to main content

MDTM anjur Kempen Cabutan Bertuah Bulanan hargai pembayar cukai taksiran

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB MDTM

TANAH MERAH, 8 Jun — Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) menganjurkan Kempen Cabutan Bertuah Bulanan sebagai tanda penghargaan kepada pembayar cukai yang menjelaskan Cukai Taksiran Tahun 2026, sekali gus menggalakkan budaya pembayaran cukai secara konsisten dan tepat pada masanya.

Kempen tersebut berlangsung selama tiga bulan bermula Jun hingga Ogos 2026 dengan menawarkan hadiah wang tunai RM150 kepada lima pemenang pada setiap bulan.

MDTM menerusi hantaran di media sosial hari ini memaklumkan bahawa pembayar cukai yang melunaskan Cukai Taksiran Tahun 2026 secara penuh serta tidak mempunyai tunggakan layak menyertai cabutan bertuah berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pembayar yang membuat bayaran sebelum bulan cabutan dijalankan turut berpeluang menyertai cabutan bagi bulan semasa dan bulan-bulan berikutnya sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Penyertaan ini terbuka kepada pembayar cukai yang menjelaskan bayaran penuh Cukai Taksiran Tahun 2026 dan tidak mempunyai sebarang tunggakan cukai,” katanya.

MDTM turut memaklumkan bahawa semua pemenang cabutan bertuah bulanan akan secara automatik layak menyertai Cabutan Mega yang dijadualkan berlangsung pada September 2026.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen tersebut boleh menghubungi Unit Cukai MDTM di talian 017-843 6026.

Pautan berjaya disalin!