Budaya ihsan penjawat awam pemangkin organisasi cekap berwibawa - Presiden PKPN
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 8 Jun — Persatuan Pegawai-Pegawai Kontrak untuk Perkhidmatan Negeri Kelantan (PKPN) yakin penghayatan konsep ihsan dalam kalangan penjawat awam mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan organisasi yang lebih cekap, telus dan berwibawa, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus berintegriti.
Presidennya, Ahmad Mustapha Ab Azais berkata, amanat Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 memberi penekanan tepat terhadap kepentingan konsep ihsan sebagai teras utama tadbir urus Islam.
Menurutnya, konsep tersebut menjadi panduan penting kepada seluruh penjawat awam dalam memperkukuh budaya kerja yang profesional, berkualiti dan berteraskan nilai Islam.
“Konsep ini menjadi panduan dan pedoman kepada seluruh penjawat awam serta menjadi asas penting dalam memperkukuh budaya kerja yang berkualiti, profesional dan berteraskan nilai-nilai Islam dalam setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Presiden PKPN, Ahmad Mustapha Ab Azais
“Kami percaya bahawa penghayatan nilai ihsan mampu memperkukuh komitmen setiap anggota perkhidmatan awam untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan, disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Kesedaran bahawa setiap amanah yang dipikul adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT merupakan benteng terbaik dalam membendung salah guna kuasa, kecuaian dan amalan yang menjejaskan integriti organisasi,” katanya dalam kenyataan rasmi, hari ini.
Beliau juga menzahirkan komitmen sebagai sebahagian daripada jentera pentadbiran negeri, penjawat awam sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugas.
Menurutnya, penekanan terhadap nilai ihsan memberi suntikan motivasi kepada warga perkhidmatan awam untuk terus meningkatkan kualiti kerja, produktiviti dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan.
Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kerana memberi penekanan seimbang kepada pembangunan fizikal, ekonomi dan modal insan.
“Persatuan ini juga menyambut baik pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Pendekatan ini memberi penekanan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi serta turut menitikberatkan pembangunan modal insan yang berteraskan nilai-nilai Islam.
“Kami yakin bahawa penjawat awam yang menghayati konsep ihsan akan menjadi pemangkin kepada pembentukan organisasi yang lebih cekap, telus dan berwibawa,” katanya.
Sehubungan itu, PKPN beriltizam untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus yang berintegriti serta membudayakan nilai ihsan dalam setiap aspek perkhidmatan awam.
Beliau berharap usaha tersebut dapat melahirkan penjawat awam yang sahaja cemerlang dari sudut prestasi kerja bahkan memiliki keperibadian unggul serta menjadi contoh kepada masyarakat.
Ahmad Mustapha mewakili kepimpinan PKPN mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan berharap pengiktirafan yang diterima menjadi inspirasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam negeri untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, amanah dan ihsan.










