Accessibility Tools

Skip to main content

Lebih 30 buah rumah musnah dalam kebakaran Gok Kapur, bantuan segera diperlukan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 8 Jun – Bantuan segera diperlukan bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur selepas lebih 30 buah rumah dilaporkan musnah dalam kejadian yang berlaku tengah hari tadi, melibatkan 130 mangsa.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato' Dr Izani Husin berkata, beliau menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 12.30 tengah hari sebelum terus bergegas ke lokasi bagi meninjau keadaan serta bertemu sendiri dengan mangsa yang terlibat.

Menurutnya, tragedi berkenaan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam sekelip mata.

“Melihat wajah-wajah mereka yang masih terkejut dan pilu benar-benar menyentuh hati.
Dalam sekelip mata, mereka telah kehilangan tempat berteduh dan harta benda akibat kebakaran ini,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Beliau menzahirkan simpati walaupun tiada kata-kata yang mampu menggantikan kehilangan yang ditanggung mangsa.

Beliau menasihati mangsa agar menginsafi setiap ujian yang diturunkan oleh Allah SWT pasti mempunyai hikmah yang tersendiri.

“Saya berpesan kepada mereka agar terus kuat menghadapi dugaan ini dan jangan berasa keseorangan kerana ramai yang bersedia menghulurkan bantuan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tabung Kecemasan Kebakaran Gok Kapur dibuka segera bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas.

“Kita akan berusaha memastikan mangsa menerima bantuan yang sewajarnya. Selain Tabung Kecemasan Kebakaran Gok Kapur, kita juga akan cuba membantu melalui Tabung Serambi Mekah Kerajaan Negeri Kelantan dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban mereka dalam tempoh pemulihan ini,” jelasnya.

Dato' Dr Izani turut menyeru orang ramai yang berkemampuan supaya bersama-sama menyumbang mengikut kemampuan masing-masing bagi membantu menyediakan keperluan asas serta menyokong usaha pemulihan mangsa.

“Dalam saat sukar ini, sokongan dan keprihatinan masyarakat amat diperlukan bagi membantu mereka yang sedang berdepan ujian besar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba, agensi penyelamat serta semua pihak yang terlibat dalam operasi dan usaha membantu mangsa kebakaran berkenaan.

Pautan berjaya disalin!