Accessibility Tools

Skip to main content

Kerjasama Kelantan-PERHEBAT buka peluang veteran ATM ceburi sektor agromakanan

Oleh: Asri Hamat
Foto: Media YB Dato' Tuan Saripudin

KOTA DARULNAIM, 9 Jun — Kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dijangka membuka lebih banyak peluang kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri menerusi sektor pertanian dan agromakanan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perkara itu antara fokus utama yang dibincangkan sempena kunjungan hormat Pengarah PERHEBAT Negeri Kelantan Mejar Sharulanuar Baharom bersama wakil Pengurus Besar KPKB Mukhlis Mokhtar ke pejabatnya, semalam.

Menurutnya, perbincangan tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan pertanian bagi bakal pesara dan veteran ATM sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

Beliau memaklumkan, PERHEBAT memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan kemahiran, bimbingan kerjaya serta program pembangunan keusahawanan bagi membantu golongan tersebut membina sumber pendapatan yang mampan.

“Peranan ini amat penting dalam memastikan golongan veteran terus produktif dan berdaya saing dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Dalam pertemuan ini, kami juga bertukar pandangan mengenai potensi sektor pertanian dan agromakanan sebagai bidang yang mampu menjana pendapatan kepada para pesara melalui latihan TVET, pemindahan teknologi, pembangunan usahawan tani serta penglibatan dalam projek pertanian moden yang berdaya maju,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Jelasnya, sektor pertanian dan agromakanan berpotensi besar untuk diterokai oleh golongan pesara dan veteran ATM memandangkan bidang tersebut menawarkan pelbagai peluang keusahawanan serta pembangunan kerjaya yang berterusan.

"Pendekatan berasaskan latihan dan pemindahan teknologi mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani berkemahiran yang dapat menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Kerjasama antara kerajaan negeri, PERHEBAT dan agensi berkaitan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada veteran ATM untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri melalui sektor pertanian dan agromakanan.

“Semoga jalinan kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada bakal pesara dan veteran ATM serta membantu mereka menjana pendapatan yang mampan selepas menamatkan perkhidmatan,” katanya.

 

Pautan berjaya disalin!