Kelantan-LPNM sahut seruan KPKM perkukuh industri nanas melalui sokongan teknologi dan kepakaran
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB Dato' Tuan Saripuidin
KOTA DARULNAIM, 9 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan terus menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memperkukuh pembangunan sektor nanas menerusi sokongan teknikal, pemindahan teknologi serta pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada para petani.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, komitmen tersebut diterjemahkan melalui sesi libat urus bersama komuniti petani nanas di Dewan Negeri (DUN) Selising bagi membincangkan potensi serta hala tuju pengembangan industri berkenaan di kawasan tersebut.
Menurutnya, pertemuan yang turut melibatkan pihak LPNM Negeri Kelantan itu menjadi platform penting untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengusaha berkaitan cabaran semasa, keperluan industri serta peluang pembangunan yang boleh diterokai.
“Perbincangan ini turut menjadi platform bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengusaha mengenai keperluan dan cabaran yang dihadapi dalam pembangunan industri nanas di kawasan mereka,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.
Beliau memaklumkan, industri nanas mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai salah satu subsektor agromakanan yang mampu menjana pendapatan mampan kepada petani serta merancakkan ekonomi luar bandar.
Katanya, usaha memperkasa industri tersebut akan diperkukuhkan melalui pelaksanaan program pembangunan yang lebih tersusun termasuk bantuan teknikal, penggunaan teknologi moden dan peningkatan kemahiran pengusaha.
“Kerajaan Negeri bersama LPNM akan terus berganding bahu bagi memastikan industri nanas berkembang secara mampan dan berdaya saing, sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada para petani,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan industri nanas dapat dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Beliau juga berharap langkah tersebut dapat menjadikan industri nanas sebagai antara pemacu utama sektor agromakanan negeri serta menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi komuniti luar bandar di Kelantan.










