Laluan masuk Jeram Linang dibersihkan, mudahkan pengunjung dan penjaja -YB Mohd Rodzi
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 9 Jun – Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Ja’afar mengambil inisiatif segera membersihkan laluan masuk ke Hutan Lipur Jeram Linang bagi mengatasi kesukaran yang dihadapi pengunjung dan penjaja yang menggunakan kemudahan rekreasi tersebut.
Katanya, tindakan itu diambil susulan rungutan yang diterima daripada para pengunjung dan penjaja mengenai keadaan laluan masuk ke kawasan air terjun berkenaan yang sempit serta menyukarkan pergerakan kenderaan.
Beliau memaklumkan, pihaknya telah menyewa jentera bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di sepanjang laluan masuk ke Hutan Lipur Jeram Linang sebagai langkah penyelesaian segera untuk memudahkan orang ramai mengunjungi pusat rekreasi tersebut.
"Hutan Lipur Jeram Linang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulut Sat, Machang, namun laluan masuk ke lokasi berkenaan berada dalam kawasan DUN Gaal, Pasir Puteh.
“Sebelum ini, keadaan laluan menyebabkan kenderaan sukar untuk berselisih antara satu sama lain. Alhamdulillah, selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan, laluan tersebut kini lebih luas dan kenderaan boleh berselisih dengan lebih mudah,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Menurutnya lagi, usaha tersebut merupakan langkah awal bagi meningkatkan keselesaan pengguna yang berkunjung ke Jeram Linang, khususnya pada musim cuti dan hujung minggu yang lazimnya menerima kehadiran pengunjung yang ramai.
Beliau menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang terlibat yang menyokong usaha pembersihan dan penyelenggaraan bagi memastikan laluan tersebut berada dalam keadaan yang lebih baik dan selesa pada masa hadapan.
"Terima kasih kepada Jabatan Perhutanan dan Exco Pelancongan Negeri Kelantan atas sokongan terhadap usaha meningkatkan kemudahan di kawasan pelancongan berkenaan.
“Insya Allah, dengan kemudahan yang lebih baik, lebih ramai pengunjung akan datang ke Air Terjun Jeram Linang dan menikmati keindahan kawasan rekreasi ini,” katanya.










