Accessibility Tools

Skip to main content

Era AI: Kompetensi, profesionalisme dan silibus guru Halaqat dipertingkat selaras keperluan masyarakat

  • 03 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 36

KOTA DARULNAIM, 3 November – Kerajaan Negeri Kelantan mempertingkat kompetensi, profesionalisme dan memurnikan silibus pengajaran guru Halaqat bagi memastikan penyampaian dakwah lebih berkesan, tersusun serta relevan dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keperluan masyarakat semasa.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, usaha itu dilaksanakan melalui kursus pemantapan kemahiran, latihan profesional, pendedahan teknologi digital serta penggubalan silibus baharu yang dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Menurutnya, Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan telah mengadakan bengkel pemurnian silibus pada Julai lalu dan menubuhkan panel pakar daripada pelbagai institusi bagi memastikan kandungan pengajaran memenuhi keperluan semasa tanpa mengabaikan asas pendidikan Islam.

"Jadi silibus yang baharu ini dalam pembikinan dan insya-Allah pada tahun ini juga akan disempurnakan untuk pelaksanaan silibus yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong, YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

YB Mohd Asri menjelaskan, panel penggubalan silibus itu melibatkan wakil Universiti Malaya (UM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Machang, Yayasan Islam Kelantan (YIK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Persatuan Pondok Negeri Kelantan.

Katanya, panel berkenaan bertanggungjawab meneliti keseluruhan kandungan silibus yang merangkumi modul akidah, tafsir, hadis, fiqah, tasawuf dan sirah.

Silibus baharu itu akan dilaksanakan menerusi kaedah pengajaran yang lebih sistematik dan bersesuaian dengan tahap kefahaman peserta, perkembangan semasa serta matlamat kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang memahami dan menghayati ajaran Islam.

Dalam aspek peningkatan kompetensi, beliau memaklumkan kursus pemantapan guru Halaqat telah diadakan pada 2 April lalu di Jeram Mengaji Agro Resort dengan penyertaan lebih 70 pegawai dan pembantu Halaqat.

"Program itu bertujuan memperkukuh kemahiran komunikasi, pendekatan dakwah masa kini dan pengurusan hal ehwal masyarakat, selain memantapkan kefahaman guru Halaqat terhadap pelaksanaan silibus yang ditetapkan," jelasnya.

Selain itu, bengkel pengukuhan kompetensi kerani dan pegawai Halaqat yang diadakan pada 15 September lalu turut memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi AI, khususnya dalam penyediaan bahan hebahan termasuk poster dan sepanduk.

Menurutnya lagi, Kursus Latihan untuk Jurulatih (Training of Trainers – ToT) Model Peningkatan Profesional Halaqat turut dilaksanakan secara berterusan dengan siri terbaharu pada 17 Ogos lalu yang melibatkan pegawai dan pembantu Halaqat dari seluruh jajahan di Kelantan.

Beliau memaklumkan, latihan tersebut memberi penekanan kepada pembentukan profesionalisme guru Halaqat merangkumi kemahiran, sahsiah dan etika ketika berinteraksi dengan masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut merancang bengkel kemahiran pengajaran dan pengucapan awam bagi pengelola serta guru pembantu Halaqat untuk meningkatkan penguasaan pedagogi, teknik penyampaian dan pengendalian kelas.

"Bengkel itu akan memberi penekanan kepada kemahiran kendiri, kepimpinan serta pengurusan khalayak supaya guru Halaqat mampu mengaplikasikan ilmu yang dimiliki berdasarkan isu semasa dan memastikan kaedah pengajaran tidak statik.

"Peserta juga akan didedahkan dengan pengurusan personaliti, etika sosial dan emosi dari sudut kepimpinan, selain kemahiran mengurus organisasi, membuat keputusan, mengendalikan mesyuarat serta pengurusan kewangan," ujarnya.

Beliau menambah, latihan berkenaan turut merangkumi pengurusan media sosial, penyelesaian pertikaian, pengaplikasian silibus dakwah serta kaedah tashih bacaan al-Quran bagi meningkatkan mutu bimbingan kepada masyarakat.

Menurutnya lagi, pemantapan berterusan itu bertujuan memastikan guru Halaqat menguasai ilmu agama serta mempunyai kemahiran komunikasi, pengurusan dan teknologi yang diperlukan untuk menyampaikan dakwah secara berkesan dalam persekitaran masyarakat yang semakin berkembang.

Usaha pemurnian silibus dan peningkatan profesionalisme tersebut turut menjadi asas bagi memastikan institusi Halaqat terus berperanan dalam memperluas pendidikan Islam serta membimbing masyarakat menghayati ajaran agama melalui pendekatan yang bersesuaian dengan cabaran semasa.

Pautan berjaya disalin!