ADN Bunut Payong seru warga emas daftar Kifalah
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media PKD Bunut Payong
KOTA BHARU, 3 Jun – Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman menyeru warga emas berumur 55 tahun ke atas di kawasan DUN Bunut Payong agar segera mendaftar dalam Skim Kifalah Kerajaan Negeri Kelantan.
Seruan tersebut dibuat bagi memastikan mereka dan keluarga dapat menerima manfaat kebajikan yang disediakan kerajaan negeri.
Menurutnya, Skim Kifalah yang menyediakan sumbangan khairat kematian kepada warga emas merupakan antara inisiatif kebajikan yang telah lama diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media rasminya selepas menyampaikan sumbangan Kifalah kepada waris empat penerima di kediaman masing-masing sekitar DUN Bunut Payong, semalam.
Katanya, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat sekali gus membantu meringankan beban keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat, khususnya warga emas yang telah banyak berjasa kepada keluarga dan masyarakat.
“Melalui Skim Kifalah ini, sedikit sumbangan dapat disalurkan kepada waris bagi membantu mereka menghadapi urusan selepas kematian ahli keluarga,” jelasnya.
Menurutnya lagi, bantuan yang disalurkan melalui Skim Kifalah diharap dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh waris, khususnya dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.
“Pihak PKD Bunut Payong menyeru warga DUN Bunut Payong yang berumur 55 tahun ke atas agar membuat pendaftaran di PKD Bunut Payong bagi membolehkan mereka menikmati manfaat yang disediakan menerusi skim ini.
“Pemohon hanya perlu membawa kad pengenalan, mengisi borang yang disediakan serta menamakan wasi yang akan menerima sumbangan sekiranya berlaku kematian,” katanya.














