Accessibility Tools

Skip to main content

100 anak yatim, 45 OKU terima manfaat inisiatif kebajikan kerajaan negeri

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 3 Jun – Seramai 100 anak yatim dan 45 Orang Kurang Upaya (OKU) di DUN Pulai Chondong menerima manfaat kebajikan menerusi Skim Pendidikan Yatim dan Bantuan Maaruf OKU daripada Kerajaan Negeri Kelantan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh berkata, kedua-dua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian sewajarnya khususnya dalam aspek pendidikan, kebajikan dan pembangunan sahsiah.

“Seramai 100 anak yatim menerima bantuan menerusi Skim Pendidikan Yatim Kerajaan Negeri Kelantan sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga penerima di samping memberi dorongan kepada mereka untuk terus menuntut ilmu dan mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyampaian bantuan berkenaan di Dewan Al-Falah Joh, di sini, pada 25 Mei yang lalu.

Tambahnya, anak yatim merupakan golongan yang sangat dititikberatkan dalam Islam dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kebajikan serta pendidikan mereka sentiasa dipelihara.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan anak-anak yatim supaya mereka dapat membesar sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat pada masa hadapan.

“Bantuan yang disalurkan ini diharap dapat memberi semangat kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran serta mengejar cita-cita masing-masing,” katanya.

Tambahnya, perhatian yang sama turut diberikan kepada golongan OKU agar mereka tidak tercicir daripada mendapat pendidikan, bimbingan dan kefahaman Islam yang sempurna. Justeru dalam majlis yang sama, seramai 45 OKU turut menerima Bantuan Maaruf OKU.

“Selainm itu, melalui inisiatif OKU Muqarrabun pula, kerajaan negeri berusaha membantu golongan OKU mendekati serta memahami ajaran Islam dengan lebih baik, di samping memperkukuh pembangunan rohani dan sahsiah mereka.

“Usaha ini membuktikan bahawa pembangunan insan yang dibawa oleh kerajaan negeri merangkumi semua golongan termasuk mereka yang memerlukan perhatian dan sokongan khusus,” ujarnya.

Menurut YB Azhar, bantuan yang disampaikan itu bukan sekadar memberi sokongan material, bahkan menjadi simbol keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat khususnya golongan yang berdepan cabaran kehidupan.

Pautan berjaya disalin!