Accessibility Tools

Skip to main content

Lapan ekor lembu korban diagih kepada penduduk sekitar DUN Guchil

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah

KUALA KRAI, 3 Jun – Sebanyak lapan ekor lembu korban telah diagihkan kepada penduduk sekitar DUN Guchil sempena Program Korban Perdana DUN Guchil 1447H/2026M yang berlangsung di Kompleks Warisan Al-Hidayah, Jalan Gaele, di sini pada 30 Mei lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, program berkenaan merupakan antara usaha berterusan untuk menyemarakkan syiar Islam di samping memastikan golongan yang memerlukan turut menerima manfaat daripada ibadah korban.

Menurutnya, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman bersama penduduk yang berganding bahu menjayakan proses penyembelihan, melapah dan mengagih daging korban.

“Alhamdulillah, sebanyak lapan ekor lembu telah dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini. Selain diagihkan kepada mereka yang hadir memeriahkan program, daging korban turut disampaikan kepada penduduk di Perumahan Baitulmal, Perumahan MAIK dan kawasan sekitar,” katanya di laman rasmi pada Isnin.

Beliau berkata, program yang manjadi rutin tahunan itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat melaksanakan ibadah korban, malah menjadi platform memperkukuhkan hubungan silaturahim dan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk.

Katanya, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam menjayakan program tersebut mencerminkan nilai kebersamaan yang menjadi teras keharmonian komuniti setempat.

“Semoga segala amalan korban yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT serta membawa keberkatan kepada seluruh peserta dan masyarakat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!