Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perkukuh Pendidikan Rabbani melalui pelbagai program

Oleh: Asri Hamat
Foto: Media YB Dato’ Wan Roslan

KOTA DARULNAIM, 3 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkukuhkan kecemerlangan akademik dan Pendidikan Rabbani menerusi pelaksanaan serta pemantapan pelbagai program yang memberi manfaat kepada pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah institusi pendidikan negeri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Program Kecemerlangan Peperiksaan dan Pendidikan Rabbani Negeri Kelantan yang dipengerusikannya, semalam. 

Menurutnya, mesyuarat berkenaan membincangkan aspek pelaksanaan, penilaian dan pemantapan pelbagai program kecemerlangan akademik bagi meningkatkan pencapaian pelajar di negeri ini.

"Mesyuarat turut meneliti laporan pelaksanaan beberapa program yang telah dijalankan antaranya Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan, Program A+ Rabbani Boot Camp, Bengkel Cloud Ilmu Dalam Talian, Kem Straight ‘A’ SPM, Program E-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan serta Seminar Kecemerlangan SPM Pendidikan Rabbani," katanya menerusi media sosial, pada Selasa. 

Selain itu, beberapa cadangan program bagi tahun 2026 turut dibentangkan termasuk Kem Straight ‘A’ SPM dan Seminar Kecemerlangan SPM Pendidikan Rabbani sebagai usaha berterusan memperkukuhkan kecemerlangan akademik, sahsiah serta budaya pembelajaran berteraskan nilai-nilai rabbani dalam kalangan pelajar.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Presiden Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) YB Dato’ Abdul Rahman Yunus; Setiausaha BBC YB Zuraidin Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar, Timbalan Pengarah (Akademik) YIK Sukeri Hussin serta Timbalan Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) Borhanuddin Ahmad.

Tambah Dato' Wan Roslan, segala perancangan dan usaha yang digerakkan menerusi program-program berkenaan diharap dapat memberi manfaat besar kepada pelajar serta terus memperkukuhkan agenda pendidikan negeri.

"Ia selaras dengan hasrat melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan cemerlang demi agama, bangsa dan negeri," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!