Gangguan operasi feri Pengkalan Kubor perlu penyelesaian segera - Ahli Parlimen Tumpat
Oleh: Asri Hamat
TUMPAT, 2 Jun - Gangguan operasi feri di Pengkalan Kubor yang didakwa kerap berlaku perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan kerana ia membabitkan kehidupan penduduk serta ekonomi kawasan sempadan.
Perkara tersebut disuarakan oleh Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato' Mumtaz Md Nawi susulan dakwaan feri berkenaan sentiasa mengalami kerosakan secara purata dua kali sebulan menyebabkan operasi tidak dapat dilakukan dalam tempoh antara tujuh hingga 10 hari setiap kali berlaku gangguan.
Katanya, keadaan ini menyukarkan penggunaan memandangkan perkhidmatan feri tersebut berfungsi sebagai medium pengangkutan awam yang penting bagi masyarakat setempat.
"Dua kali sebulan purata berlaku kerosakan menyebabkan perkhidmatan feri tidak dapat beroperasi antara tujuh hingga 10 hari. Keadaan ini menjejaskan tujuan utama perkhidmatan feri sebagai satu medium pengangkutan awam sekaligus turut menjejaskan ekonomi rakyat, " katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin.
Tambah beliau, sudah tiba masanya pihak berwajib seperti Jabatan Kerjaraya (JKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengadakan perbincangan serius untuk mencari jalan penyelesaian menyeluruh sama ada dengan cara membina jambatan dengan seberapa segera atau sebagainya demi untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya lagi, isu berkenaan bukan sahaja membantutkan pergerakan harian rakyat malah turut berkait rapat dengan ekonomi sempadan.
"Zon Bebas Cukai (ZBC) menjadi ekonomi rakyat di kawasan sempadan dan feri adalah pengangkutan yang digunakan oleh penduduk setempat untuk membeli barangan serta menunggu kehadiran pelancong dan pembeli.
"Jadi perlu ada satu penyelesaian yang tuntas dan segera supaya masalah ini tidak terus berulang," ujarnya.








