Kelantan Bird Photography 2026 promosi biodiversiti, ekopelancongan negeri
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 2 Jun - Program Kelantan Bird Photography 2026 yang menghimpunkan komuniti pencinta fotografi alam dilihat berperanan dalam mempromosikan keindahan biodiversiti serta ekopelancongan Negeri Kelantan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, penganjuran program berkenaan disifatkan sebagai satu inisiatif yang bukan sahaja mengangkat seni fotografi sebagai medium kreatif, malah memperkenalkan khazanah alam semula jadi Kelantan kepada khalayak secara lebih meluas.
Katanya, Kelantan sememangnya kaya dengan kepelbagaian flora, fauna dan ekosistem yang bernilai tinggi.
“Melalui lensa para peserta, keindahan alam semula jadi negeri ini berjaya dirakam dan diterjemahkan dalam bentuk visual yang mampu menjadi medium promosi pelancongan yang berkesan.
“Setiap gambar yang dihasilkan bukan sekadar karya seni, tetapi turut membawa cerita tentang keunikan alam dan warisan biodiversiti yang kita miliki,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Isnin.
Terdahulu YB Datuk Kamaruddin merasmikan Majlis Penutup Kelantan Bird Photography 2026 yang berlangsung di kawasan Hutan Bukit Bakar, Machang pada Isnin yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning, YB Ahmad Zakhran Mat Noor.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Fotografi Kelantan (KELFOTO) serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan program berkenaan.
“Tahniah dan syabas kepada KELFOTO serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan program yang unik dan berimpak tinggi ini,” katanya.
Tambahnya, penganjuran program di Hutan Bukit Bakar turut membuktikan kawasan semula jadi di negeri ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai produk ekopelancongan yang mampan.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama itu dapat terus diperluaskan pada masa hadapan bagi memelihara alam sekitar, meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang menarik di Malaysia.










