MAIK laksana Majlis Ibadah Korban Jama’ie, 1,400 ketua isi rumah terima agihan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 28 Mei - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melaksanakan Majlis Ibadah Korban Jama’ie bagi tahun 1447H/2026M dan mengagihkan daging korban tersebut kepada 1400 ketua isi rumah dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.
Majlis berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato’ Mohd Anis Hussein berkata, sebanyak 53 ekor lembu dikorbankan pada program berkenaan termasuk dua ekor lembu kurniaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk disembelih dan diagihkan kepada golongan yang layak.
Menurutnya, agihan daging korban itu disalurkan kepada penerima menerusi masjid bandar di jajahan Kota Bharu sebagai usaha membantu golongan memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Program ibadah korban ini merupakan antara usaha MAIK dalam menyemarakkan syiar Islam serta mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat melalui pengagihan daging korban kepada golongan yang memerlukan,” katanya kepada media.
Menurutnya, pelaksanaan ibadah korban secara jama’ie itu turut mencerminkan komitmen MAIK dalam memperkukuh nilai kebersamaan, keprihatinan sosial dan semangat pengorbanan dalam masyarakat.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang terdiri daripada agensi kerajaan, badan berkanun serta pihak persendirian yang terus menyokong pelaksanaan program ibadah korban berkenaan.
“Semoga pelaksanaan ibadah korban pada hari ini diterima Allah SWT serta menjadi medium memperkukuhkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan nilai pengorbanan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.












