Accessibility Tools

Skip to main content

Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas korban tujuh kerbau, seekor lembu tahun ini

Oleh: Norzana Razaly

PASIR MAS, 26 Jun — Sebanyak tujuh ekor kerbau dan seekor lembu akan dikorbankan di bawah kelolaan Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas sempena Aidiladha tahun ini sebagai usaha berterusan menyantuni masyarakat serta menghidupkan syiar Islam di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari berkata, ibadah korban tersebut dijayakan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk sahabat handai dan para penyumbang yang terus memberikan sokongan.

“Insya Allah sebanyak tujuh ekor kerbau dan seekor lembu akan dikorbankan di bawah kelolaan Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas tahun ini.

“Terima kasih kepada para penyumbang dan sahabat handai yang bersama-sama kami kali ini. Semoga ibadah korban nanti diterima Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penghayatan Hari Wukuf anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bagi Parlimen Pasir Mas di pekarangan Masjid Mukim Alor Buloh, di sini, hari ini.

Menurutnya, jadual pelaksanaan ibadah korban telah disusun mengikut lokasi dan ketetapan yang ditetapkan bagi memastikan pengurusan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kerinduan terhadap suasana di Tanah Suci khususnya pengalaman berwukuf di Arafah dan berada di Mina yang disifatkan sarat dengan makna serta penghayatan spiritual.

Beliau juga mendoakan kesejahteraan para jemaah haji yang kini sedang menunaikan wukuf di Arafah agar dikurniakan haji yang mabrur.

“Semoga seluruh jemaah haji yang sedang memasuki Arafah dan berwukuf dikurniakan haji yang mabrur serta dipermudahkan segala urusan ibadah mereka,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, Program Penghayatan Hari Wukuf dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi menyemarakkan kefahaman masyarakat terhadap penghayatan ibadah haji serta memperkukuh nilai pengorbanan dan kesatuan ummah sempena sambutan Aidiladha.

Pautan berjaya disalin!