Accessibility Tools

Skip to main content

71 peserta sertai saringan pidato perdana PMBI Kelantan, 20 mara ke pentas akhir

  • 11 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 43

KOTA BHARU, 11 Oktober – Sebanyak 71 peserta menghadiri saringan Pertandingan Pidato Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 1448H/2026 Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, bagi Kategori A (Terbuka), sebanyak 17 daripada 20 peserta yang melepasi pemilihan saringan pertama hadir menyertai pertandingan, daripada keseluruhan 33 individu yang mendaftar penyertaan.

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Nik Bahrum Nik Abdullah

Sementara itu, Kategori B (Cilik) merekodkan kehadiran 54 daripada 58 peserta berdaftar.

Menurutnya, Kategori A terbuka kepada peserta berusia 14 tahun ke atas, manakala Kategori B dikhususkan kepada peserta berusia 13 tahun ke bawah.

“Secara keseluruhan, sebanyak 71 peserta hadir menyertai saringan bagi kedua-dua kategori, manakala keputusan pertandingan peringkat saringan akan diumumkan pada 13 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peserta Kategori A (Terbuka)

Peserta Kategori A (Terbuka)

Peserta Kategori B (Cilik)

Beliau berkata, sebanyak sepuluh peserta dengan markah tertinggi bagi setiap kategori akan dipilih untuk berentap di peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 25 Oktober ini.

Tambahnya, pertandingan berprestij kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan gagasan Membangun Bersama Islam dalam kalangan masyarakat, selain mencungkil bakat dalam bidang pidato dan pengucapan awam.

“Melalui pertandingan ini, peserta diberi ruang mengemukakan pandangan dan hujah berkaitan pembangunan berteraskan Islam serta isu semasa masyarakat, di samping membina generasi berilmu, berkeyakinan dan mampu menyampaikan mesej Islam secara berhikmah, berfakta serta berkesan,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!