Pengurusan banjir perlu perancangan teliti – YB Dato' Siti Zailah
-
12 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Dato' Siti Zailah
-
29
RANTAU PANJANG, 12 Oktober - Pengurusan banjir memerlukan perancangan teliti, pelaksanaan berkesan serta kerjasama berterusan antara semua pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusof.
Menurutnya, setiap usaha pembangunan perlu memberikan manfaat nyata kepada rakyat, terutama dalam aspek keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan daripada risiko bencana.
Beliau berkata demikian menerusi media sosial selepas mengikuti Program Lawatan Pemantauan Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Golok Fasa 1, 2 dan 3 bersama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) YB Dato' Sri Abdul Rahman Mohamad di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang pada Ahad.
Menurutnya, lawatan itu memberi peluang untuk meninjau perkembangan pelaksanaan projek berkenaan serta mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai usaha menangani risiko banjir yang memberi kesan kepada penduduk setempat, khususnya di kawasan Lembangan Sungai Golok.
"Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan demi kepentingan serta kesejahteraan penduduk setempat," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi yang turut menyertai lawatan berkenaan berharap lawatan tersebut dapat memperkukuh komitmen dalam meningkatkan keberkesanan sistem saliran dan tebatan banjir.
Katanya, usaha berkenaan diharap dapat mengurangkan risiko banjir, sekali gus melindungi kesejahteraan penduduk setempat.
"Bersama memacu pembangunan infrastruktur yang mampan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Ahad.











