Accessibility Tools

Skip to main content

121 unit RMMK Taman Saujana Harmoni dijual, Fasa 2 dan 3 dibina – YB Hilmi

  • 12 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
  • 29

KOTA DARULNAIM, 12 Oktober - Sebanyak 121 unit Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Fasa 1 di Taman Saujana Harmoni, Gua Musang berjaya dijual kepada pembeli yang layak manakala pembangunan Fasa 2 dan 3 dalam perancangan pembinaan seterusnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ketua Jajahan Gua Musang Dato' Mohd. Roshdi Ismail, pihak PMBK Development Sdn Bhd dan pemaju ML Synergy Sdn Bhd.

Menurutnya, pengambilan sebahagian tanah bagi pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) menyebabkan pihak pemaju perlu menyelaraskan semula perancangan pembangunan Fasa 2.

“Berikutan pengambilan tanah, pihak pemaju terpaksa membuat serah balik dan milik semula serta mengubah syarat sedia ada daripada rumah kedai kepada bangunan kediaman,” katanya di laman rasmi, semalam.

Projek usaha sama antara PMBK Development Sdn Bhd, anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan dengan ML Synergy Sdn Bhd itu terletak di Kampung Tanah Puteh, berhampiran Hentian Gua Musang.

Pembangunan Taman Saujana Harmoni merangkumi tiga fasa, dengan unit kediaman bagi Fasa 2 telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Sementara itu, perbincangan turut menyentuh perancangan pembangunan Fasa 3 bagi meneruskan projek perumahan berkenaan.

“Semoga pembangunan bagi Fasa 3 sebagaimana yang dibincangkan oleh ahli mesyuarat tadi akan dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berharap segala urusan berkaitan pembangunan fasa seterusnya berjalan lancar demi memastikan kelangsungan projek perumahan berkenaan.

Pautan berjaya disalin!