Accessibility Tools

Skip to main content

PLSB Sungai Golok perlu dinilai, reka bentuk asal perlu ambil kira risiko banjir – YB Kamaruzaman

  • 12 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Kamaruzaman
  • 25

RANTAU PANJANG, 12 Oktober - Reka bentuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok perlu diteliti semula bagi memastikan pelaksanaannya mengambil kira keadaan hujan dan risiko banjir yang dihadapi penduduk di kawasan terlibat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad berkata, aspek reka bentuk asal projek perlu diberi perhatian, khususnya bagi memastikan sistem tebatan banjir berupaya menangani keadaan sebenar di lapangan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mencadangkan supaya reka bentuk projek PLSB Sungai Golok ini dikaji semula sepenuhnya kerana empat tahun akhir-akhir ini ia menjadi punca banjir buruk,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata demikian setelah menyertai lawatan pemantauan bersama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi serta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Jambatan Pok Teh Kana, Kampung Lanchang, Rantau Panjang, semalam.

Lawatan itu turut merangkumi tinjauan perkembangan PLSB Sungai Golok Fasa 1, 2 dan 3 serta sesi penerangan mengenai perancangan dan pelaksanaan projek berkenaan.

Mengulas reka bentuk projek, YB Kamaruzaman mencadangkan supaya reka bentuk asal PLSB Sungai Golok diteliti semula dengan mengambil kira keadaan hujan dan pengalaman banjir yang berlaku di kawasan berkenaan.

Beliau turut mencadangkan pembinaan laluan aliran air baharu dari Benteng Sungai Lemal- Lanchang ke Sungai Meranti, seterusnya ke Perkalanan Nangka sebelum dialirkan ke laut bagi mengurangkan beban Sungai Golok.

“Jadi untuk mengurangkan beban Sungai Golok untuk menampung aliran keluar itu, maka dicadangkan satu aliran keluar baharu iaitu daripada Benteng Sungai Lemal-Lanchang keluar ke Sungai Meranti dan seterusnya ke Pengkalan Nangka dan terus ke Laut China Selatan,” jelasnya.

Menurutnya, cadangan itu bertujuan memastikan pelaksanaan projek berkenaan tidak menambah beban kepada penduduk setempat, memandangkan kedua-dua benteng menggunakan Sungai Golok sebagai laluan keluar air.

YB Kamaruzaman turut berkongsi pengalaman berdepan banjir besar yang memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan risiko kepada penduduk dan kediaman mereka.

Sehubungan itu, penelitian terhadap reka bentuk projek serta aspek pengurusan aliran air sungai perlu diberikan perhatian oleh agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi keperluan kawasan terlibat.

ADN Gual Periok itu menyatakan harapan agar pelaksanaan projek berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Semoga pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan menjadi salah satu usaha penting dalam menangani masalah banjir serta memberi manfaat kepada penduduk, khususnya warga DUN Gual Periok dan kawasan sekitarnya,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!